TINJAUAN di lokasi gerai yang dipercayai punca kebakaran akibat perbuatan khianat mencurahkan petrol di hadapan pintu bidai besi kedai makanan dan minuman di tingkat satu Pasar Besar Seremban. FOTO Adzlan Sidek
TINJAUAN di lokasi gerai yang dipercayai punca kebakaran akibat perbuatan khianat mencurahkan petrol di hadapan pintu bidai besi kedai makanan dan minuman di tingkat satu Pasar Besar Seremban. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


IBU Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan sedang memburu individu yang bertindak membakar Pasar Besar Seremban, di sini hingga mengakibatkan kira-kira 300 premis musnah pada 9 September lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pasukan bomba, kelmarin yang memaklumkan kejadian itu berpunca perbuatan khianat.

Katanya, pemburuan kini dijalankan mengikut Seksyen 438 Kanun Keseksaan iaitu khianat menggunakan api.

"Pihak polis setakat ini sudah memiliki satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasar terbabit. Ia dibawa ke makmal forensik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas sidang media oleh Pengarah Bomba negeri, Norazam Khamis, semalam yang mengesahkan kebakaran itu disebabkan perbuatan khianat.

Noor Azam berkata, pihak polis belum mengetahui isi kandungan rakaman CCTV itu sama ada memaparkan wajah suspek atau sebaliknya.

"Sebaik menerima laporan analisa, kita akan bertindak dan memburu individu berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro melaporkan lima kesan cecair mudah terbakar dipercayai petrol yang ditemui menjadi bukti perbuatan khianat hingga menyebabkan semua ruang niaga tingkat atas Pasar Besar Seremban musnah dalam kebakaran pada 9 September lalu.

Cecair berkenaan ditemui pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan serta Unit Anjing Pengesan (K9) yang menunjukkan lokasi api bermula.

Norzam pada sidang media berkata, hasil siasatan menemui kesan cecair mudah terbakar di hadapan premis makanan dan minuman bernombor 758A di tingkat atas pasar itu.

Berita berkaitan:

Pasar terbakar angkara khianat

RM6 juta baik pulih pasar

Pasar Besar Seremban dijilat api

Unit K9 bantu siasatan kebakaran

'Lambek bonar' panggil bomba...

Kerja baik pulih sehingga 10 bulan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 3:35 PM