DATUK Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (tengah) diiringi Pengurus Besar Tesco Kota Bharu, Thinesh Subramaniam (kanan) melawat bakeri Tesco Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
DATUK Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (tengah) diiringi Pengurus Besar Tesco Kota Bharu, Thinesh Subramaniam (kanan) melawat bakeri Tesco Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Hazira Ahmad Zaidi


HANYA sembilan daripada 20 kilang ais yang beroperasi di Kelantan mempunyai lesen yang diperakui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, sembilan kilang berlesen itu masing-masing beroperasi di Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Beliau berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pengurusan kilang yang tidak berlesen dan menasihati mereka supaya membuat permohonan dan mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan.

"Sekiranya mereka masih ingkar dan tetap menjalankan operasi tanpa lesen, tindakan penguatkuasaan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 akan diambil. Ini termasuklah mengenakan denda tidak melebih RM5,000.

"Kami mengambil serius perkara ini kerana operasi tanpa lesen diragui kebersihannya. Dengan adanya lesen sah, pemantauan tahap kebersihan akan dapat dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat dan Pengiktirafan Program Jaminan Keselamatan Makanan 2017 Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Natrah Abu Bakar dan Pengurus Besar Tesco Kota Bharu, Thinesh Subramaniam.

Dalam pada itu, Ahmad Razin berkata, pihaknya sudah memeriksa 9,090 premis makanan sehingga September lalu dan 3,550 daripadanya diberi Gred A bagi penilaian kebersihan.

"Sebanyak 4,877 memperoleh Gred B dan 657 Gred C. Enam premis lagi memperoleh Gred D dan diarah tutup," katanya.

Menerusi penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 pula, 1,793 Notis 32B dikeluarkan kepada premis makanan yang gagal patuhi aspek kebersihan dan penyediaan makanan.

Katanya, sehingga kini, hanya 136 premis makanan di Kelantan diiktiraf di bawah Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) dan usaha mempromosinya masih giat dijalankan.

Terdahulu, beliau menyampaikan piala dan sijil penghargaan kepada medan selera pasar raya besar Tesco yang dianugerahkan juara Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 4:31 PM