SEBAHAGIAN lori yang diperiksa dalam operasi, semalam.
SEBAHAGIAN lori yang diperiksa dalam operasi, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Membawa muatan melebihi had dibenarkan dan berbahaya. Itu kesalahan dilakukan lapan pemandu lori yang membawa muatan pasir dan batu di sekitar Jalan Tun Razak, Jalan Cheras dan Jalan Maharajalela.

Mereka ditahan pada Ops Bersepadu Hippo (lori) dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula jam 6 pagi hingga jam 9.30 pagi, semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi disertai enam pegawai dan 49 anggota kedua-dua agensi, empat lori ditahan atas kesalahan membawa muatan berlebihan dan selebihnya kerana membawa muatan berbahaya.

“Sebuah lori didapati membawa 112 peratus lebih muatan batu kerikil daripada had dibenarkan.

“Operasi ini dijalankan bagi membanteras kegiatan lori yang membawa lebih muatan dan gagal mematuhi syarat lesen SPAD,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang tahun ini, 2,205 lori sudah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di seluruh negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua JSPT KL Ahmad Adnan Basri berkata, SPAD mengambil tindakan dalam aspek teknikal, manakala pihaknya memberi fokus kepada lori lebih muatan berat dalam pusat bandar pada waktu puncak.

“Kami kesan 26 kes pada operasi ini. Ia membabitkan satu kesalahan membawa lebih muatan, 16 kesalahan kenderaan berat masuk ke bandar pada waktu larangan, empat lori tidak memiliki alat pemadam api dan satu kesalahan kerana pemandunya gagal mempamerkan lesen ketika ditahan,” katanya.

Menurut beliau, semua kenderaan berat dilarang memasuki pusat bandar dan jalan tertentu di ibu kota pada waktu puncak iaitu jam 6.30 pagi hingga jam 9.30 pagi serta jam 4.30 petang hingga jam 7.30 malam.

“Walaupun sudah ada papan tanda larangan di kebanyakan jalan seperti Jalan Duta, Jalan Mahameru, Jalan Genting Klang, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, Jalan Kuching dan Jalan Semarak, masih ramai pemandu kenderaan berat ini degil dan ingkar untuk patuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:20 AM