Dr Shamsul Anuar memberitahu pengurusan jenazah Shyzlin lebih mudah dibuat di Malaysia.
Dr Shamsul Anuar memberitahu pengurusan jenazah Shyzlin lebih mudah dibuat di Malaysia.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


WANITA warga Malaysia yang pernah dipenjara kerana menjadi keldai dadah dan dilaporkan meninggal dunia di Peru, semalam, akan dibawa pulang ke tanah air kira-kira dua minggu lagi.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya akan meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Peru bagi menguruskan hal berkaitan sebelum membawa pulang jenazah Shyzlin Hataman, 43.

"Cara itu lebih mudah kerana urusan pengebumian di sana membabitkan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Shyzlin disahkan meninggal dunia pada 6.50 petang waktu Peru atau 7.50 pagi waktu Malaysia, semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Nacional dos de Mayo kerana komplikasi beberapa penyakit selepas dimasukkan ke wad beberapa hari lalu.

Shyzlin yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa terkandas di Lima, Peru sejak lapan tahun lalu termasuk dipenjara.

Berasal dari Johor, Allahyarhamah dibebaskan daripada hukuman pada Mei lalu tetapi proses membawanya pulang tergendala berikutan masalah kesihatan yang dihadapi.

Kisah sedih Allahyarhamah mendapat perhatian umum apabila dilapor meringkuk dalam penjara lebih empat tahun kerana menyeludup dadah sebelum ditempatkan di sebuah gereja di negara itu yang menjadi tempat tinggalnya susulan masalah kesihatan dihadapi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 3:17 PM