NAJIB  merasa menu yang disediakan   Rosmah  sempena pelancaran laman web baru BAKTI  dan Buku Koleksi Resipi Bakti.
NAJIB merasa menu yang disediakan Rosmah sempena pelancaran laman web baru BAKTI dan Buku Koleksi Resipi Bakti.
HM Digital

Putrajaya: Walaupun sibuk dengan soal pentadbiran negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempat pulang ke rumah di Kompleks Seri Perdana untuk menikmati ikan patin masak tempoyak hasil air tangan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah menyediakan hidangan kegemaran Perdana Menteri itu dengan bantuan Chef Sabri Hassan secara terbuka pada Majlis Pelancaran Laman Sesawang BAKTI yang baru di hadapan hampir 200 tetamu yang hadir pada majlis pelancaran laman sesawang Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) dan koleksi buku resepi sempena ulang tahun ke-40 BAKTI.

Hidangan itu dimasak bagi menjayakan rakaman ‘Air Tangan Ikan Patin Tempoyak’ yang akan disiarkan dalam Selamat Pagi Malaysia (SPM) siaran RTM.

Najib yang tiba di Kompleks Seri Perdana jam 1.20 tengah hari naik ke atas pentas untuk merasa lauk patin masak tempoyak yang dimasak isteri beliau menggunakan ikan patin segar dari Sungai Jelai, Pahang.

Sambil tersenyum, beliau sempat menyatakan masakan itu sedap dan hidangan itu kemudian dibawa ke meja utama untuk dinikmati.

Perdana Menteri kemudian menyaksikan penyampaian setem khas kenangan sempena 40 tahun BAKTI daripada Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Bhd Datuk Mohd Shukrie Salleh kepada Rosmah.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rosmah berkata, laman sesawang www.bakti.org.my yang baru direka dengan lebih terperinci, sistematik dan interaktif dilancarkan semalam bagi membolehkan orang ramai serta ahlinya mendapat manfaat daripadanya.

Beliau berkata, laman sesawang BAKTI yang pertama dilancarkan pada 27 Mei 2009 sudah melalui tiga fasa perubahan dari segi imej, paparan atau isi kandungan bagi membolehkan laman sesawang ini lebih mesra pengguna, mudah dicapai serta memberi lebih kefahaman kepada pengguna sejajar dengan peredaran masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 5:18 AM