Mangsa banjir dipindahkan ke PPS Dewan Penampang Baru, Kimanis, Papar, hari ini. FOTO Ihsan APM
Mangsa banjir dipindahkan ke PPS Dewan Penampang Baru, Kimanis, Papar, hari ini. FOTO Ihsan APM
Norasikin Daineh

MANGSA banjir di Papar, Sabah meningkat kepada 108 orang berbanding 50 orang sebelum itu berikutan paras air di Sungai Kimanis meningkat, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel (PA) Muliadi Al Hamdi Ladin berkata, setakat jam 9 malam ini, semua mangsa membabitkan 39 keluarga dari tiga kampung ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Penampang Baru, Kimanis.

"Hujan lebat di Ulu Kimanis bermula pada 3 petang tadi diikuti hujan renyai-renyai menyebabkan berlaku peningkatan paras air di sungai terbabit.

"Keadaan banjir yang belum pulih menyebabkan 39 keluarga dari Kampung Penampang Baru Kimanis, Kampung Lingan Baru dan Kampung Mendugi terpaksa dipindahkan ke PPS berkenaan," katanya.

Katanya, tiga lagi kampung iaitu Kampung Belatik, Kampung Batu 14 Ulu Kimanis dan Kampung Daingin turut dinaiki air, namun tiada pemindahan dilakukan.

"Pemantauan terus dilakukan dari semasa ke semasa dan anggota kita bersedia melakukan pemindahan penduduk sekiranya rumah mereka dinaiki air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 10:22 PM