Pengalaman Awang Adek diyakini mampu menerajui MARA dengan labih baik.
Pengalaman Awang Adek diyakini mampu menerajui MARA dengan labih baik.
Hayati Ibrahim


BEKAS Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, 62, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) baharu berkuatkuasa 1 September ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, pelantikan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya percaya dengan pengalaman yang dimiliki, beliau akan dapat memimpin MARA dalam melaksanakan dasar dan perancangan oleh kementerian demi mencapai objektif Transformasi Negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Awang Adek adalah bekas Timbalan Menteri Kewangan (2006 hingga 2013); bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2004 hingga 2006).

Beliau memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Matematik dan Ekonomi (1977) dari Universiti Drew, Amerika Syarikat; sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Wharton, Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat di peringkat Sarjana pada 1981 dan Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi pada 1984.

Beliau yang juga bekas Senator (2009 hingga 2013) pernah dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat bagi tempoh 2014 hingga 2016.

Awang Adek juga pernah bertugas sebagai Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1983 hingga 1985 sebelum menyertai Bank Negara Malaysia (BNM) antara 1985 hingga 2001 dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Gabenor BNM.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, Awang Adek bertanding dan menang kerusi Parlimen Bachok, serta dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Antara jawatan politik yang masih disandang beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Bachok, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 12:53 PM