SUSPEK diiring polis di mahkamah ketika mendapat perintah reman. FOTO Zuhairi Zuber
SUSPEK diiring polis di mahkamah ketika mendapat perintah reman. FOTO Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


SEORANG lelaki dipercayai tentera direman tujuh hari di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, bagi membantu siasatan membabitkan kejadian samun dan bunuh di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek berusia 35 tahun itu direman bagi membolehkan polis menyiasat mengikut Seksyen 302/394 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.

"Suspek ditahan kira-kira dua jam selepas kejadian di sekitar taman perumahan terbabit," kata Afzanizar.

Suspek memakai baju lokap berwarna ungu dan berseluar celoreng tentera, menundukkan muka bagi mengelak dirakam media, ketika diiring polis keluar dari kamar mahkamah.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam semalam, warga emas Abdul Rahman Pileh, 60, maut dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam, manakala isterinya Sabturiah Lakidau, 59, cedera parah pada muka selain tangannya tangan dikelar.

Sementara itu, anak bongsu mangsa Mohd Hishamuddin Abdul Rahman, 29, kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menular berita kematian ibunya.

"Saya sedih apabila ada pihak menyebar berita palsu mengatakan ibu saya sudah meninggal dunia. Berita tullar ibu saya sudah meninggal dunia ini dilakukan sejal malam tadi, dan masih berlaku pagi ini.

"Saya baru sahaja jumpa ibu dan kini dia berada dalam dewan bedah sejak jam 6 pagi tadi. Doktor beritahu, ibu saya stabil dan memberi tindak balas setiap kali disoal doktor," kata Mohd Hishamuddin, ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 1:14 PM