Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Kunjungan dua beranak ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor untuk memohon semula sijil kelahiran dan MyKid semalam, menjadi kenangan tidak dapat dilupakan apabila dokumen itu diserahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN Datuk Mohd Zahari Hassan.

Zurina Soleh, 40, dari Klang berkata, dia bersama anak, Muhammad Akmal Wajdi Aziz, 7, tiba di JPN jam 9 pagi untuk memperbaharui sijil kelahiran dan MyKid anaknya yang hilang.

Menurutnya, sementara menunggu dokumen berkenaan siap, dia dimaklumkan oleh pegawai JPN tentang majlis penyerahan sijil kelahiran dan MyKid.

“Saya terkejut selepas diberitahu sijil kelahiran dan MyKid anak akan diserahkan Mohd Zahari pada pagi ini (semalam).

“Saya ucapkan terima kasih kerana proses memperoleh kedua-dua dokumen ini cepat dan mudah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPN Selangor Zahrollail Zainal berkata, sehingga 30 Jun lalu, 2,127 kad pengenalan dicetak di negeri ini membabitkan 405 di JPN Kuala Selangor, 1,931 di JPN Klang, 461 di JPN Pelabuhan Klang dan 406 di JPN Kuala Langat.

Menurutnya, Projek Hab Percetakan Teragih MyKad (Hab DPP) yang diperkenalkan JPN dapat mempercepatkan urusan pengeluaran MyKad dengan penjimatan tempoh siap MyKad antara 50 peratus ke 77 peratus.

“Selain tempoh penjimatan serahan MyKad siap, Projek Hab DPP ini turut memberikan penjimatan kos perkhidmatan pos laju, kos tenaga kerja dan pembangunan sistem,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 6:17 AM