Maklumat palsu yang tular.
Maklumat palsu yang tular.
Amir Mamat


Maklumat kononnya penduduk negeri ini akan menerima duit raya dibayar melalui program Bonus Rakyat Melaka (BRAM) yang tular menerusi aplikasi WhatsApp tidak benar.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, menyifatkan maklumat menggunakan namanya sebagai satu fitnah YANG boleh mengelirukan rakyat.

Beliau yang kini sedang mengerjakan ibadah umrah di tanah suci mengeluarkan satu kenyataan menyangkal maklumat itu.

"Saya menafikan maklumat tular menerusi WhatApps yang menggunakan nama saya sebagai Ketua Menteri Melakamelancarkan program BRAM.

"Fitnah ini yang mungkin dianggap sebagai gurauan tetapi nyata menjejaskan imej saya dan kerajaan negeri," katanya.

Idris, meminta pihak berkenaan menghentikan penyebaran maklumat itu manakala penerima pula diminta mengabaikannya kerana perbuatan itu hanya menyusahkan rakyat.

Tular sejak kelmarin itu menyebut Datuk Seri Idris Haron, KM (Ketua Menteri) Melaka hari ini melancarkan program BRAM untuk membantu rakyat Melaka menyambut Ramadan.

Setiap rakyat negeri ini berusia 16 hingga 55 tahun kononnya akan diberikan wang tunai RM750 dan hanya perlu mengisi borang yang disediakan menerusi alamat laman sesawang yang disediakan.

Bagaimanapun, apabila laman sesawang itu dibuka, hanya tertulis 'Yes, kena tipu..Haha'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 2:47 AM