Mohd Nasif Badruddin

Pusat Pengajian Islam Tok Kenali (PPITK) yang ditubuhkan pada 2011 menjadi platform untuk generasi pewaris ulama terkenal Nusantara itu meneruskan legasi keilmuan dalam bentuk organisasi lebih tersusun dan terkini.

PPITK yang dipimpin generasi keempat Tok Kenali iaitu Ustaz Muhammad Hafiz Hukmi Wardi sebagai Pengerusi Lembaga Penyelaras kini menguruskan empat entiti di bawahnya iaitu Sekolah Rendah Islam (SRI) Tok Kenali, Tadika al-Kenali, Madrasah Tahfiz Tok Kenali dan Masjid Tok Kenali.

Penolong Pengarah Pendidikan PPITK Ustaz Awang Sulaiman, 55, berkata, setiap entiti terbabit mempunyai pentadbir berlainan yang pakar dalam bidang masing-masing.

Beliau yang juga Penolong Kanan SRI Tok Kenali berkata, sekolah persendirian bagi murid sekolah rendah itu mempunyai 138 murid dari seluruh negara di bawah bimbingan 14 guru.

“Sekolah ini mengguna pakai silibus sendiri yang mempunyai lapan subjek serta silibus Kementerian Pendidikan dan muridnya mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sejak 2009.

“Tadika al-Kenali untuk kanak-kanak prasekolah yang terletak berhampiran kawasan ini mempunyai 31 murid,” katanya.

Menurutnya, PPITK menerusi Madrasah Tahfiz turut mempunyai 13 pelajar perempuan yang datang dari Sekolah Menengah Agama (Arab) Maahad ar-Rahmah Kenali di bawah seliaan dua guru.

Katanya, Masjid Tok Kenali pula mempunyai pengurusan sendiri di bawah pimpinan cucu Tok Kenali iaitu Tuan Guru Haji Lokman Tuan Guru Haji Ahmad sebagai penasihat.

Beliau berkata, masjid terbabit yang digunakan untuk solat lima waktu dan solat hari raya turut menjadi pusat rujukan mengenai sejarah serta perkembangan Tok Kenali dengan adanya beberapa bahan bacaan dan pameran buat tatapan orang ramai.

“PPITK kini dalam perancangan untuk menghidupkan semula sistem pengajian pondok dan pusat tahfiz dengan harapan ia menjadi kesinambungan kepada usaha Tok Kenali membangun umat menerusi pendidikan tradisional dan moden.

“Kita harap dapat menyediakan tempat untuk remaja, anak yatim dan warga emas menuntut ilmu agama dalam keadaan selesa dengan kemudahan terkini di bangunan lima tingkat nanti,” katanya.

Menurutnya, PPITK juga mengambil inisiatif menceburi bidang perniagaan menerusi produk minuman kesihatan di bawah syarikat Ibni Wardie Sdn Bhd bagi membangun prasarana dan mengembangkan pusat pengajian itu.

Katanya, perniagaan adalah strategi terbaik untuk menambah dana bagi membantu pelajar dan menyediakan prasarana baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 10:23 AM
SETIAP institusi di bawah PPITK mempunyai pengurusan tersendiri.
SETIAP institusi di bawah PPITK mempunyai pengurusan tersendiri.
MURID mengulang kaji pelajaran.
MURID mengulang kaji pelajaran.
MURID  solat berjemaah di Masjid Tok Kenali.
MURID solat berjemaah di Masjid Tok Kenali.
 MURID Sekolah Rendah Islam Tok Kenali mencatatkan pencapaian terbaik dalam bidang akademik.
MURID Sekolah Rendah Islam Tok Kenali mencatatkan pencapaian terbaik dalam bidang akademik.