Mohd Rizal Abdullah


Dua tahun dulu Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Miri (SRIITIZ), Miri, Sarawak ini hanya beroperasi di bangunan kedai di Permyjaya dengan hanya mempunyai lima murid berusia tujuh tahun bersama tiga guru.

Bagaimanapun, disebabkan kemasukan murid yang semakin bertambah, sekolah ini terpaksa berpindah pada November 2016 ke sebuah rumah sewa dua tingkat di Pujut bagi memberikan keselesaan kepada setiap murid.

Kini, sekolah itu beroperasi dengan 20 murid iaitu tujuh perempuan dan selebihnya lelaki berusia tujuh dan lapan tahun bersama lima tenaga pengajar.

Walaupun baru memasuki tahun ketiga sejak penubuhannya pada Oktober 2015, sekolah ini dilihat mampu melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan agama hasil didikan guru yang berkelulusan dan berpengalaman dalam pelbagai bidang.

Mudirnya, Ustaz Aiman Abdul Ghafar, 27, berkata, sekolah ini mempunyai dua kelas iaitu bagi murid tahun satu dan tahun dua berbanding dulu yang hanya mempunyai sebuah kelas.

Menurutnya, SRTIIZ bukan sekadar memfokuskan sukatan pelajaran tahfiz iaitu Talaqqi, Fiqah, Akhlak, Islamik dan Sirah Nabawi, tetapi seiring dengan sukatan akademik berpandukan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), sekali gus melayakkan setiap murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Penubuhan sekolah ini adalah rangkaian yang kedua di negeri ini selepas Sekolah Rendah Tahfiz Darul Hana di Tanjung Kidurong, Bintulu.

“Saya difahamkan, rangkaian ketiga bakal ditubuhkan di Petrajaya, namun ia masih dalam proses perbincangan,” katanya yang berasal dari Gombak, Kuala Lumpur.

Katanya, ruang pembelajaran di situ amat selesa dengan setiap bilik mempunyai pendingin hawa selain ruang aktiviti yang luas.

“Bagaimanapun, sekiranya pendaftaran murid semakin meningkat dari tahun ke tahun, kemungkinan sekolah ini akan berpindah ke tempat baru yang lebih selesa.

“Ia bergantung kepada kapasiti murid. Setakat ini, keluasan sekolah ini masih mampu memberikan keselesaan kepada setiap murid di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 8:31 AM
SUASANA pembelajaran di SRIITIZ.
SUASANA pembelajaran di SRIITIZ.