myMetro

Butterworth: Satu lagi kes kereta dipandu melawan arus didakwa berlaku di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dari Tol Sungai Nyiur ke Seberang Jaya, dekat sini, malam kelmarin.

Kali ini ia membabitkan sebuah kereta dipercayai Toyota Vios yang dikatakan dipandu seorang wanita berusia 30-an dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam.

Dalam klip video berdurasi 40 saat itu, wanita berkenaan didapati memandu secara melawan arus hingga mengejutkan pemandu kereta lain yang menggunakan laluan berkenaan.

Tiada kemalangan dilaporkan berlaku, tetapi kejadian itu mengundang kemarahan pemandu lebuh raya terbabit apabila mereka membunyikan hon secara bertalu-talu selepas melihat kelakuan wanita berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, setakat ini tiada laporan berhubung insiden itu diterima pihaknya daripada pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 6:07 AM