Siraj Mohd Zaini


TITAH Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah jelas tidak membenarkan mana-mana ahli politik memberi ucapan di dalam ruang solat masjid atau surau di negeri itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, titah Tuanku itu juga dibacakan berulang kali sebelum ini bagi memelihara institusi keagamaan daripada sebarang unsur politik.

"Maksudnya jelas, iaitu titah Tuanku yang mana 'politician' (ahli politik) tidak boleh bagi apa-apa ucapan di dalam ruang solat," katanya di Shah Alam, hari ini.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa dikatakan memasuki Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, sebelum didakwa memberikan ceramah ketika berada dalam dewan solat.

Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati beberapa pihak.

Haris berkata, tindakan Sivarasa terbabit menyebabkan Sultan Selangor murka dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Sulit kepada Tuanku, Datuk Munir Bani.

Semalam, empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyerahkan memorandum kepada JAIS disebabkan tindakan Ahli Parlimen berkenaan.

Sivarasa bagaimanapun berkata, beliau hanya menyampaikan ucapan ringkas mengenai komitmen berterusan kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi surau dan masjid di negeri itu.

Haris berkata, nazir masjid berkenaan sudah dipanggil memberikan keterangan dan boleh dikenakan tindakan gantung jawatan atau dipecat.

Beliau berkata, pihaknya turut memanggil penganjur serta ahli kariah bagi menyiapkan kertas siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut dikenakan.

Mengulas lanjut, Haris berkata, JAIS akan menghantar surat rasmi kepada semua ahli politik termasuk yang bukan Islam supaya sentiasa ingat dan patuh terhadap titah Sultan itu.

Berita berkaitan:

Sultan Selangor murka tindakan MP Subang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 1:24 PM