ANTARA sukarelawan yang terbabit dengan RWDN.
ANTARA sukarelawan yang terbabit dengan RWDN.

Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rohingya Women Development Network (RWDN), akan terus memperjuangkan nasib wanita dan kanak-kanak etnik Rohingya daripada menjadi mangsa eksploitasi pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.

Pengasasnya Sharifah Shakirah Husain berkata, setakat ini beliau mengenal pasti terdapat pihak tertentu menggunakan wanita dan kanak-kanak dalam kalangan etnik Rohingya sebagai peminta sedekah, buruh paksa dan pekerja seks.

Beliau berkata, RWDN akan sentiasa memantau perkembangan wanita dan kanak-kanak etnik Rohingya termasuk mengadakan pelbagai aktiviti serta kursus kepada mereka supaya lebih berdikari dan mampu meneruskan kehidupan tanpa sebarang masalah.

“Kebanyakan wanita etnik Rohingya masih mengamalkan budaya hanya duduk di rumah dan beranggapan hanya lelaki perlu menyara keluarga atau mencari rezeki.

“Hakikatnya, wanita juga memainkan peranan penting dalam segala aspek dan sepatutnya diberikan peluang untuk berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Menurut Sharifah, etnik Rohingya dihalang mendapatkan pendidikan sempurna di Myanmar dan perkara sama berlaku apabila menjadi pelarian hingga mereka terpaksa melupakan bidang berkenaan serta perlu mencari peluang pekerjaan demi menyara keluarga.

“Pendidikan tiada dalam istilah kehidupan kami kerana tidak dibenarkan sewaktu berada di Myanmar, malah jika berbuat demikian kemungkinan nyawa mencari pertaruhan.

“Kami sememangnya menginginkan pendidikan sempurna demi masa depan terjamin dan berharap suatu masa nanti perkara berkenaan menjadi realiti,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga menjadi platform kepada etnik Rohingya dalam menyalurkan maklumat terkini kepada mereka berkaitan situasi semasa di kampung halaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 3:55 AM