WILFRED (dua kiri) bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM Prof Dr Noor Azizi Ismail (kanan) melihat projek cendawan kukur di Agrofarm UUM.
WILFRED (dua kiri) bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM Prof Dr Noor Azizi Ismail (kanan) melihat projek cendawan kukur di Agrofarm UUM.
Aizat Sharif


Sintok: Sikap tidak yakin terhadap kebolehan teknologi dihasilkan tenaga tempatan membuatkan banyak inovasi teknologi bermutu tinggi negara ini gagal dikembangkan untuk manfaat umum.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, rakyat Malaysia secara amnya tidak begitu menghargai atau meyakini inovasi teknologi dihasilkan anak tempatan.

“Walaupun inovasi teknologi yang dihasilkan di negara ini bermutu tinggi dan mampu diperkenalkan ke peringkat antarabangsa, tidak ramai yang begitu yakin dengan kemampuan yang kita miliki.

“Lihat saja Korea Selatan, rakyat mereka begitu patriotik dan menghargai inovasi teknologi yang dihasilkan negara mereka dan disebabkan itulah inovasi teknologi berkenaan kelihatan bertebaran di seluruh dunia menerusi pelbagai produk bukan saja telekomunikasi, tetapi elektrik dan pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI)-Program Kesedaran Keusahawanan dan Ekonomi Pertanian Untuk Membantu Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Projek Tanaman Cendawan Kukur di Agrofarm UUM, di sini, semalam.

Beliau berkata, Malaysia banyak menghasilkan inovasi teknologi yang bermanfaat kepada masyarakat seperti alat penyerap gempa bumi atau seismic bearing dihasilkan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) di London.

“Hasil kajian dan teknologi RRIM, kami mengeluarkan produk inovasi getah dari kilang kami di Klang.

“Menariknya, bangunan Parlimen New Zealand menggunakan seismic bearing yang dihasilkan kami,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan Wilfred berkata, kajian dan penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan teknologi pembenihan cendawan kukur menggunakan bioreaktor dalam persekitaran yang terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 11:12 AM