KEADAAN lori yang terbabit kemalangan di kebun sawit di Kilometer 8, Jalan Bentong-Raub.
KEADAAN lori yang terbabit kemalangan di kebun sawit di Kilometer 8, Jalan Bentong-Raub.
myMetro

Bentong: Seorang warga Myanmar maut dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya pecah apabila ‘lori hantu’ yang dinaiki bersama rakannya terbalik dalam kejadian di kebun sawit Kilometer 8, Jalan Bentong-Raub, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.50 petang, mangsa, En Khan Mang, 24, yang tinggal di rumah kongsi di Kilometer 8, Jalan Bentong-Raub maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Nor Yusuf Ali berkata, rakan mangsa yang duduk di tempat duduk hadapan dikenali sebagai Junaedi, 33, berasal dari Indonesia tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian En Khan yang memandu kenderaan berat itu dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi bersama rakannya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan berat itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar tebing di kiri jalan sebelum terbalik, lalu menghempapnya.

Beliau berkata, Junaedi sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada bingkai pintu hadapan sebelum menghubungi majikannya untuk meminta bantuan.

Mohd Nor berkata, siasatan mendapati permukaan jalan satu lorong sehala, berlumpur dan berselekoh selain keadaan jalan berbukit dan curam serta basah kerana hujan.

“Mayat mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berat itu dibawa keluar oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong.

“Sampel air kencing dan darah mangsa akan diambil untuk ujian toksologi dan analisa Jabatan Kimia,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan mempunyai dokumen perjalanan sah dan permit kerja, namun mangsa didapati tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:39 AM