NORSABRINA (tiga dari kanan) bersama keluarga Muhammad Habib Rayyan di KLIA, pagi semalam.
NORSABRINA (tiga dari kanan) bersama keluarga Muhammad Habib Rayyan di KLIA, pagi semalam.
Yusmizal Dolah Aling

Sepang: “Saya mohon rakyat Malaysia doakanlah yang terbaik buat Habib agar dia kuat untuk menjalani pembedahan.

“Sebagai ibu, saya sudah tidak ada daya upaya, melainkan berdoa supaya dia kembali sihat seperti biasa dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” kata Azlina Ahmad.

Ibu kepada Muhammad Habib Rayyan Rosli, 5, yang menghidap penyakit kegagalan hati kronik atau Biliary Atreasia berkata, dia mengharapkan berkat doa orang ramai agar pembedahan yang akan dijalankan nanti berjalan lancar.

Pagi semalam, dia bersama suami, Rosli Mohd Noh dan anaknya itu berlepas ke Shanghai untuk menjalani rawatan susulan dan pembedahan ekoran kesihatan Habib yang semakin menurun.

Katanya, keluarganya itu dibantu wakil rakyat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah Datuk Norsabrina Mohd Noor serta Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (Nadi Permata), membolehkan hasrat rawatan menjadi kenyataan.

“Saya sebenarnya tidak sangka doa untuk membawa Habib mendapatkan rawatan pakar menjadi kenyataan. Sejak tiga tahun lalu, Datuk Sabrina (Norsabrina) bantu keluarga saya berdepan pelbagai masalah.

“Baru-baru ini pertubuhan kebajikan juga bantu selain Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) juga mengusahakan kutipan dana. Saya ucapkan terima kasih kepada semua,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut hadir, Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu dan Presiden Nadi Permata Marsilayuhaini Baharuddin.

Azlina berkata, anaknya itu akan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Renji Shanghai selama dua bulan, bergantung kepada tahap kesihatannya.

“Sebelum ini dia dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak beberapa bulan lalu dan doktor mengesyorkan kami segera membawanya ke sana.

“Beberapa minggu lalu dia mengalami pendarahan hidung menyebabkan kami bimbang sesuatu berlaku kepadanya. Namun hari ini kami ke Shanghai dan ia fasa penting bagi Habib,” katanya.

Harian Metro 14 April 2014 melaporkan, Azlina sanggup berkorban dengan mendermakan hatinya kepada Habib jika ia sesuai memandangkan penyakit anaknya tahap kronik.

Azlina berkata, kelmarin, dia juga sempat mengunjungi keluarga Raef Uqael yang meninggal dunia Julai 2015 lalu selepas lebih tiga tahun menderita penyakit sama, untuk berkongsi perasaan.

Penderitaan Habib mendapat perhatian Norsabrina yang melancarkan tabung bantuan bagi membantu Azlina Rosli membiayai perubatan Habib.

Sementara itu Norsabrina berkata, dia sudah menghubungi Pengarah Tourism Malaysia di Shanghai untuk membantu keluarga itu sepanjang berada di sana.

“Kita juga usahakan bentuk bantuan lain yang dirasakan perlu memandangkan mereka berada di sana untuk tempoh yang lama.

“Saya juga berterima kasih kepada Nadi Permata yang sama-sama membantu untuk merealisasikan harapan keluarga membawa Habib mendapatkan rawatan. Difahamkan, kos pembedahan berjumlah RM160,000 dan kutipan sedang berjalan. Kita doakan yang terbaik buat adik Habib,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun semasa Maybank 558211512260 atas nama Azlina Ahmad atau layari Facebook Nadi Permata Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 8:15 AM