Shah Alam: Tindakan pemandu dan syarikat lima bas persiaran memarkir kenderaan mereka di kawasan awam sejak Disember lalu mengundang padah apabila semua bas terbabit ditunda sebelum disimpan di depoh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Pada Operasi Bersepadu Menunda Kenderaan Berat di Seksyen 3 dekat sini, syarikat bas persiaran terbabit turut dikenakan kompaun RM360 bagi setiap bas selain dicaj RM50 sehari sepanjang kenderaan disimpan di depoh itu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, jika bas berkenaan tidak dituntut pemiliknya, kompaun akan meningkat kepada RM2,000.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung sikap pemandu dan pemilik bas berkenaan yang memarkir kenderaan terbabit di kawasan awam sehingga menyukarkan laluan kenderaan lain.

“Bas ini tidak bergerak sejak hujung tahun lalu dan menghalang lalu lintas serta menghadkan pandangan disebabkan saiznya.

“Penguat kuasa MBSA sudah mengeluarkan kompaun dan notis lebih tiga kali kepada pengusaha syarikat namun sehingga hari ini tiada tindakan diambil,” katanya.

Menurutnya, kenderaan berat itu turut menyebabkan kekurangan petak parkir di kawasan kediaman khususnya perumahan bertingkat selain berlakunya kerosakan kawasan hijau atau rizab.

Katanya, operasi bersepadu itu membabitkan 22 penguat kuasa MBSA, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sementara itu, pemandu bas awam, Husnizat Husin, 44, berkata, bas persiaran yang di parkir berhampiran dengan hentian bas mengganggu pergerakan keluar masuk bas awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 3:35 AM
OPERASI Bersepadu Menunda Kenderaan Berat bagi membanteras masalah parkir di kawasan awam sekitar Bandaraya Shah Alam.
OPERASI Bersepadu Menunda Kenderaan Berat bagi membanteras masalah parkir di kawasan awam sekitar Bandaraya Shah Alam.