AHMAD Shabery  bersalaman  dengan  kakitangannya selepas berucap merasmikan Perhimpunan Bulanan kementeriannya di Putrajaya.
AHMAD Shabery bersalaman dengan kakitangannya selepas berucap merasmikan Perhimpunan Bulanan kementeriannya di Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kemudahan trem, taman tema animasi kekal dan lokasi penganjuran acara berkaitan pertanian, penternakan dan industri asas tani antara tarikan baru yang bakal diwujudkan di tapak Pusat Agro Pelancongan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan sudah memberi mandat kepada kementeriannya bagi membangunkan pusat berkenaan selepas melihat kejayaan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016, Disember lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiapkan satu pelan induk pembangunan pusat berkenaan dalam tempoh tiga bulan selain mengumpul pandangan pelbagai pihak bagi menjamin keselesaan kepada pengunjung di MAEPS.

“Berdasarkan perancangan, pusat itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung termasuk kemudahan tempat letak kereta selain mahu dikenali sebagai pusat rekreasi keluarga,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan 2017 bersama warga kementerian, semalam.

Katanya, selain menjadi lokasi penganjuran tetap MAHA, pihaknya mahu MAEPS sentiasa hidup dengan pelbagai penganjuran acara dan aktiviti terutama pada setiap hujung minggu serta musim cuti sekolah.

Ahmad Shabery berkata, sementara menunggu Pusat Agro Pelancongan siap, beliau juga mahu beberapa acara bergerak sepanjang tempoh itu termasuk mewujudkan tapak penginapan berkonsepkan santai, Nafas Cube@MARDI, kemudahan berbasikal dan penganjuran acara.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata, penganjuran MAHA 2016 meninggalkan kesan hebat kepada warga kementerian dan rakyat kerana ia tampil dengan pelbagai konsep dan benda baru berbanding edisi sebelumnya.

Sehubungan itu, katanya, beliau juga mahu semua agensi supaya terus menonjolkan jenama masing-masing sebagaimana ditunjukkan sepanjang penganjuran MAHA 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 10:37 AM