Ahmad Shabery  (tengah) melancarkan kempen 99 hari menjelang MAHA 2016  di MAEPS, Serdang.
Ahmad Shabery (tengah) melancarkan kempen 99 hari menjelang MAHA 2016 di MAEPS, Serdang.

Serdang: Lebih 90 peratus daripada 1,500 gerai yang ditawarkan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa 2016 (MAHA 2016) ditempah penggiat industri pertanian dan berkaitan pertanian tempatan serta antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menarik minat golongan muda menyertai acara dwi tahunan itu termasuk mengadakan ‘Agro Youth Camp’.

“Kementerian Belia dan Sukan akan ada kanopi sendiri serta menyelitkan unsur hiburan dan kebudayaan.

“Kita mahu jadikan pertanian sebagai suatu yang segar dan ‘trending’ serta mampu menarik minat orang muda dan segmen ini akan jadi tarikan utama dalam MAHA 2016,” katanya dalam sidang media pelancaran kempen publisiti 99 hari menjelang MAHA 2016 di Pusat Pameran Taman Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, semalam.

Menurutnya, 18 negara sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam pameran terbesar pertanian dan industri asas tani yang akan diadakan di MAEPS pada 1 hingga 11 Disember ini.

Katanya, bertemakan ‘#OurFoodOurFuture’, MAHA 2016 dijangka menyediakan pelbagai ruang untuk perdagangan, pelaburan, kerjasama dan pemindahan teknologi.

Ahmad Shabery berkata, antara acara kemuncak ialah tumpuan bersepadu kepada pelancongan agro, perdagangan agro dan gaya hidup agro bersama inovasi terkini dan kemajuan teknologi serta peningkatan 30 peratus pembabitan belia keusahawanan menerusi Belia Tani.

“MAHA 2016 mendapat penajaan hampir RM5 juta daripada rakan kongsi acara (rakan kerjasama) dan berharap untuk mencapai RM10 juta berdasarkan sambutan daripada penaja berpotensi.

“Dengan penyertaan yang kukuh daripada sektor swasta tahun ini, MAHA 2016 boleh dipertingkatkan dengan aktiviti dan acara lebih menarik,” katanya.

Beliau berkata, MAHA 2016 dijangka menarik lebih 3.5 juta pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 6:44 AM