LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
MUHAMMAD Faris
MUHAMMAD Faris
Mohd Rafi Mamat

Pekan: “Saya tidak sangka ada pihak sanggup melakukan perbuatan khianat, ia seolah-olah tidak masuk akal dengan membakar asrama hingga hampir mengorbankan seorang pelajar.

“Apa salah kami? Kebakaran ini menyebabkan 18 pelajar berusia 10 hingga 20 tahun kini tinggal sehelai sepinggang,” kata Pengetua Maahad Tahfiz Nurul Iman Muhammad Faris Zakaria di Kampung Tanjung Batu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 malam, Khamis lalu, pusat pengajian Islam itu kerugian lebih RM30,000 apabila asrama yang menempatkan sembilan katil bertingkat dan kelengkapan lain rentung dalam kebakaran kira-kira 15 minit.

Muhammad Faris berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat itu menyebabkan pelajar maahad berkenaan terpaksa menumpang di rumah penduduk setempat.

Katanya, ketika kejadian, semua pelajar berada di Masjid Kampung Tanjung Batu kerana mengadakan majlis bacaan Yasin bersama penduduk dan kebakaran hanya disedari apabila api marak.

“Saya dan pelajar tidak mampu berbuat apa-apa kerana api besar. Kami hanya mampu berdoa dan melaungkan azan beberapa kali mengharapkan api dapat dipadam segera oleh anggota bomba.

“Saya bersyukur kebakaran asrama yang baru lima bulan dibina itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa. Hanya seorang pelajar berusia 10 tahun yang cedera disambar api.

“Saya dan pihak pengurusan termasuk pelajar berdoa supaya mereka yang bertanggungjawab di atas kejadian ini supaya insaf dan segera bertaubat,” katanya yang ditemui selepas mengiringi lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff di lokasi kejadian.

Pelajar Mohammad Hafiz Mohd Zaidi, 16, berkata, dia kini tinggal sehelai sepinggang apabila semua pakaiannya dan beberapa barangan yang berada dalam asrama terbakar.

“Saya hanya memiliki sehelai jubah putih dan kain pelekat. Saya tidak menyangka kebakaran asrama boleh berlaku hanya dalam sekelip mata,” kata anak kedua daripada tiga beradik berasal dari Sungai Isap, Kuantan.

Sementara itu, Mohammad Fakhruddin berkata, bantuan daripada Pejabat Ahli Parlimen Pekan, kerajaan negeri serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang akan disalurkan kepada maahad berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:41 AM