Zuraidah Muda, (hadapan) dibantu  anak saudaranya mendayung perahu untuk berpindah ke pusat pemindahan yang berdekatan selepas rumahnya dinaiki air setinggi 0.6 meter di Kampung Padang Kemunting, Kijal, Kemaman.
Zuraidah Muda, (hadapan) dibantu anak saudaranya mendayung perahu untuk berpindah ke pusat pemindahan yang berdekatan selepas rumahnya dinaiki air setinggi 0.6 meter di Kampung Padang Kemunting, Kijal, Kemaman.
Shamsudin Husin


Chukai: Seorang ibu muda terpaksa meredah banjir sedalam 0.5 meter kira-kira jam 4 pagi untuk ke pusat pemindahan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah di Kemasik, di sini, kelmarin.

Suhaili Sharuddin, 21, yang baru melahirkan anak kedua kira-kira dua minggu lalu terpaksa mengikut keluarganya ke pusat pemindahan berikutan paras air naik di kawasan kediaman ibu bapanya.

Wanita berkenaan bersama suaminya, Mohd Rizal Mohd Esa, 27, anak sulung mereka, Muhammad Shahriz Hafizi, 3, dan bayi perempuannya, Nur Sufina, antara mangsa banjir kini masih berada di pusat pemindahan banjir SMK Badrul Alam Shah.

Selain mereka, ibu bapa Suhaili, Salmah Omar, 43, dan Sharuddin Osman, 48, turut berada di SMK Badrul Alam Shah.

Suhaili berkata, sebelum itu dia tinggal di rumah keluarga suaminya di Paka, tetapi pada petang Ahad lalu mereka pulang ke rumah ibu bapanya untuk berpantang.

“Ketika kami tiba di rumah ibu bapa saya kira-kira jam 4 petang didapati cuaca masih lagi elok, tetapi selepas waktu malam hujan mula lebat.

“Pada jam 4 pagi semalam (kelmarin) bapa saya buat keputusan mengajak kami pindah kerana keadaan hujan yang masih belum reda,” katanya ketika ditemui di SMK Badrul Alam Shah.

Menurutnya, dalam keadaan sejuk itu dia sambil mendukung anaknya mengharungi air sedalam 0.5 meter dari rumah ke jalan utama sejauh 100 meter.

Katanya, mereka kemudiannya menaiki kereta ke pusat pemindahan banjir di SMK Badrul Alam Shah sebelum mendaftar sebagai mangsa banjir dan diberikan tempat.

“Sejak pagi Isnin berada di sini (pusat pemindahan) semuanya tidak ada masalah termasuk makan minum kerana semuanya disediakan dan mencukupi tetapi sebagai seorang ibu yang masih berpantang saya berasa tidak selesa berada di sini.

“Saya sentiasa berdoa banjir cepat surut supaya kami dapat pulang ke rumah dan berpantang dalam keadaan yang lebih baik.

“Melihat keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan sekali-sekala ketika ini, saya tidak pasti bila boleh pulang ke rumah dan kami terpaksa bertahan di sini buat masa ini,” katanya.

Sehingga jam 6 petang semalam, seramai 57 orang daripada 14 keluarga masih lagi ditempatkan di SMK Badrul Alam Shah manakala 32 mangsa daripada tujuh keluarga lagi ditempatkan di Balai Raya Kampung Padang Kemunting selepas daerah berkenaan dilanda hujan sejak beberapa hari lalu.

Menurut Pegawai Daerah Kemaman Rosman Roslan, semua 21 orang mangsa banjir daripada enam keluarga yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu 9 Ibok sejak pagi Isnin pula sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pagi semalam selepas pusat pemindahan terbabit ditutup jam 6.15 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:23 AM