PERTUNJUKAN aksi   pelagak ngeri menunggang motosikal menarik perhatian orang ramai  pada Fiesta Bikers Selangor 2016 di pekarangan Stadium Shah Alam.
PERTUNJUKAN aksi pelagak ngeri menunggang motosikal menarik perhatian orang ramai pada Fiesta Bikers Selangor 2016 di pekarangan Stadium Shah Alam.
Nur Izzati Izzah Nadzi

Shah Alam: Karnival Jom JPJ Selangor yang diadakan di Stadium Shah Alam, di sini, bermula semalam menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk orang ramai antaranya pemeriksaan percuma motosikal, semakan dan pembayaran saman serta memperbaharui cukai jalan.

Selain itu, program myLesen 2.0 turut dianjurkan, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai terutama belia mengambil lesen B2 atau B penuh di bawah empat institut memandu terpilih pada harga diskaun.

Pengunjung, Mohd Saipul Bahri, 34, berkata, dia bertuah kerana dapat mendaftar lesen B penuh pada karnival itu kerana ia berbaloi seterusnya menggalakkan pemandu motosikal besar mengambil lesen pada harga murah.

“Kos pengambilan lesen B penuh lebih RM900 namun di sini pengunjung diberi tawaran diskaun 50 peratus dan hanya perlu membayar RM450 saja memang berbaloi dan ia perlu direbut,” katanya.

Bagi Nora Yusof, 18, dia mengambil kesempatan program itu untuk membayar saman JPJ kerana kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen, baru-baru ini.

“Saya sepatutnya bayar RM250 untuk saman itu, namun di sini dapat pengurangan 50 peratus dan saya hanya perlu bayar RM125 saja.

“Program itu memberi manfaat kepada kita semua dan saya harap ia diadakan lagi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Jumaidah Sunder Ali berkata, dua van digunakan sebagai kaunter bergerak untuk memudahkan pengunjung memeriksa dan menyelesaikan saman kecuali saman AES, kes mahkamah, operasi perayaan, lorong kecemasan serta lebih muatan.

Menurutnya, peluang selama dua hari karnival itu perlu dimanfaatkan orang ramai.

Program itu dijayakan dengan kerjasama agensi lain seperti Majlis Kanser Nasional, Majlis Bandaraya Shah Alam, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara serta Lembaga Zakat Selangor.

Pelbagai aktiviti disediakan termasuk pemeriksaan gigi, pameran kereta dan motosikal selain Fiesta Bikers Selangor 2016 serta konsert artis terkenal tanah air.

Perasmian program itu akan dilakukan Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:12 AM