ADNAN  menandatangani Majlis  Pra Pelancaran  PIIACUF 2016  di  PICC, kelmarin.
ADNAN menandatangani Majlis Pra Pelancaran PIIACUF 2016 di PICC, kelmarin.

Putrajaya: Keunikan dan kesenian tekstil dari negara Islam menjadi tarikan utama penganjuran Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam Antarabangsa (PIIACUF) 2016 yang akan berlangsung pada 1 hingga 11 Disember depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata, setiap tahun penganjuran PIIACUF mempunyai tema tersendiri apabila ia menggabungkan kebudayaan Islam dari serata dunia.

“Penganjuran kali keempat merangkumi pelbagai jenis pakaian, jahitan, tenunan dan perhiasan yang dipamerkan kepada pengunjung menerusi tema Kegemilangan Tekstil Dunia Islam.

“Malah, kali ini kami menyasarkan lebih ramai pengunjung yang hadir iaitu 500,000 terutama dari dalam negara kerana cuti sekolah,” katanya pada sidang media Majlis Pra Pelancaran PIIACUF 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, kelmarin.

Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail.

Katanya, penyertaan dari negara luar juga semakin meningkat dengan 10 negara bersetuju terbabit dalam program ini berbanding hanya tujuh, tahun lalu.

Adnan berkata, lokasi penganjuran kali ini juga berbeza iaitu di PICC bagi memberi ruang lebih selesa kepada pengunjung termasuk pertambahan penyertaan dan pameran daripada pelbagai agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 10:25 AM