ANGGOTA penguat kuasa JAIK menyoal siasat pasangan yang dicekup berkhalwat.
ANGGOTA penguat kuasa JAIK menyoal siasat pasangan yang dicekup berkhalwat.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Alasan mahu mencuba baju pengantin gagal mengelak sepasang kekasih daripada ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) kerana dipercayai berkhalwat di sebuah hotel bajet di Jalan Lencong Barat di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, pasangan yang berbeza usia 25 tahun itu bakal melangsungkan pernikahan Jumaat ini dan dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, anggota penguat kuasa turut menemui baju pengantin dan barangan lain termasuk kasut dalam bilik berkenaan.

Mereka antara tiga pasangan yang dicekup dalam operasi bermula jam 12.30 tengah malam hingga 4 pagi semalam di hotel berkenaan membabitkan 26 anggota penguat kuasa JAIK.

Penolong Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasa Undang-undang JAIK Syeikh Mohd Rasydan A Rahman berkata, lelaki yang juga pesara tentera berusia 49 tahun berasal dari sini, dikatakan menduda sejak kematian isteri dan mengenali pasangannya berusia 24 tahun yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di negeri ini.

Beliau berkata, mereka mengaku berkenalan melalui laman sosial WeChat sejak setahun lalu sebelum bertunang dan akan bernikah Jumaat ini di rumah wanita terbabit di Kelantan.

“Walaupun mereka mengaku bertunang dan bakal bernikah empat hari lagi, namun kita tetap menahan mereka kerana disyaki melakukan maksiat apabila berdua-duaan dalam bilik tanpa sebarang ikatan sah suami isteri atau mahram.

“Mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan di pejabat agama untuk tindakan lanjut,” katanya ditemui selepas operasi tamat, semalam.

Menurutnya, dalam pemeriksaan di hotel sama, dua pasangan lain turut ditahan di bilik berasingan kerana disyaki berkhalwat antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan pertama di sebuah bilik, pihaknya menahan sepasang kekasih masing-masing berasal dari Perak dan Sik yang memberi alasan untuk mengisi borang nikah.

“Pasangan berusia 23 dan 24 tahun itu mendakwa baru pulang dari rumah keluarga wanita terbabit untuk urusan pernikahan sebelum singgah di hotel itu untuk bermalam.

“Lelaki terbabit bekerja sebagai guru manakala tunangnya peniaga ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan kedua, seorang anggota tentera berusia 36 tahun yang masih berstatus suami ditahan bersama pasangannya berusia 20 tahun.

“Pasangan itu mengaku sudah lama berkenalan ketika wanita berasal dari Sungai Petani itu menyertai aktiviti kokurikulum di sebuah pusat pengajian tinggi di negeri ini.

“Lelaki itu mempunyai dua anak dan masih bertugas di Perlis,” katanya.

Katanya, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:45 AM