Norazifa memberikan susu melalui tiub ke perut anaknya, Muhammad Faiz Irfan yang memiliki lebih lapan kecacatan di rumahnya PPR Desa Mutiara, Johor bahru.
Norazifa memberikan susu melalui tiub ke perut anaknya, Muhammad Faiz Irfan yang memiliki lebih lapan kecacatan di rumahnya PPR Desa Mutiara, Johor bahru.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Besar dugaan dihadapi seorang ibu yang juga pesakit barah payudara tahap kedua, Norazifa Othman, 32, kerana bukan sahaja dia melawan penyakit ditanggungnya malah tabah menjaga anak bongsunya yang mempunyai lapan kecacatan.

Muhammad Faiz Irfan Mohd Fauzi, 7, dilahirkan tanpa telinga sebelah kanan, masalah usus, keradangan paru-paru, kekurangan oksigen dalam badan, kecacatan lelangit dan kekejangan otot.

Anak bongsu daripada dua beradik itu turut tidak memiliki anak tekak hingga sukar menelan makanan dan saluran pencernaan tidak sempurna.

“Hingga kini Muhammad Faiz yang mengalami masalah kekejangan otot hingga lumpuh bergantung kepada tiub untuk makan dan minum susu. Malah setiap hari, dia perlu mengambil lebih 10 jenis ubat,” katanya.

Norazifa berkata, nasibnya umpama jatuh ditimpa tangga apabila disahkan menghidapi kanser payudara pada hujung 2014.

Menurutnya, dia pernah menjalani kemoterapi beberapa kali, namun sel barahnya masih aktif dan memerlukan rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Katanya, dia dikesan menghidap masalah buah pinggang dua bulan lalu dan kini bergantung kepada ubat.

“Tidak cukup dengan itu, saya mengalami masalah katarak dan perlu menyediakan RM3,000 bagi kos pembedahan mata dalam tempoh terdekat.

“Saya diminta menjalani pembedahan berkenaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.

Norazifa berkata, biarpun memiliki pelbagai komplikasi, perkara yang menjadi kebimbangannya ialah nasib anaknya jika dia ditimpa sesuatu yang buruk.

Menurutnya, suaminya, Mohd Fauzi Haron, 42, dibuang kerja sejak sebulan lalu kerana memberi penjagaan kepadanya dan Muhammad Faiz.

“Muhammad Faiz seperti bayi dan kami sentiasa memastikan kesihatannya baik dengan memberi penjagaan rapi walaupun saya sendiri bergelut dengan pelbagai penyakit,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak perempuan, Fatin Azwani, 8, yang normal.

Norazifa berkata, keluarganya kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berjumlah RM700 sebulan.

“Kami memerlukan RM500 bagi membeli susu khas yang disyorkan doktor, selain lampin pakai buang.

“Selepas suami kehilangan kerja yang memberi pendapatan RM1,000 sebulan, kami menjalani kehidupan serba kekurangan.

“Namun demi anak-anak, saya dan suami bertekad rela hadapi segala dugaan,” katanya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun Maybank milik Norazifa di 501208619055.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:16 AM