Razali bersama isteri, Siti Aishah  membantu Nuraina Syafiqah memakai alat terapi di kaki.
Razali bersama isteri, Siti Aishah membantu Nuraina Syafiqah memakai alat terapi di kaki.

Shah Alam: “Saya hanya mahu Aina mampu untuk berdikari,” kata Razali Shahran, 49, bapa Nuraina Syafiqah Razali, 19, yang menghidap Cerebral Palsy sejak lahir.

Sehubungan itu, Razali berhasrat menghantar anak perempuan sulungnya itu ke Pusat Sinar Harapan di Cheras, tetapi impian itu terbatas kerana dia tidak mampu membeli kerusi roda berkuasa bateri bagi menggantikan kerusi roda lama yang sudah uzur.

“Kerusi roda lama sudah terlalu uzur dan Aina memerlukan bantuan orang lain untuk menggerakkannya. Sebab itu saya berharap sangat supaya ada pihak sudi membantu kami membeli kerusi roda elektrik untuk memudahkan pergerakan Aina,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 19, di sini, kelmarin.

Pemandu teksi itu berkata, Pusat Zakat Selangor serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah banyak memberikan bantuan oleh itu dia mengharapkan sumbangan orang ramai yang prihatin dengan masalah dihadapinya itu.

“Perkara ini penting demi masa depan Aina walaupun saya dan isteri, Siti Aishah Halim, 44, berat melepaskan dia di bawah penjagaan orang lain,” katanya.

Sementara itu, Siti Aishah berkata, Aina sudah mengalami banyak perubahan selepas enam kali menjalani pembedahan membetulkan saraf.

“Sebelum ini Aina kerap demam panas dan sawan namun kini semakin berkurangan dan menunjukkan tanda semakin pulih selepas pembedahan dan mendapatkan rawatan terapi selama dua bulan dengan kos RM14,800 yang ditanggung zakat,” katanya.

Menurutnya, Aina bakal menjalani satu lagi pembedahan saraf pada 10 Oktober ini dan berharap anaknya itu dapat menguruskan diri tanpa perlu bergantung pada orang lain.

“Pertuturan Aina kini seperti budak berusia lima tahun dan dia juga tidak sepenuhnya menggunakan lampin pakai buang.

“Selagi saya hidup, saya akan buat apa saja untuknya namun saya mahu dia belajar dengan cepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 6:37 AM