MEKAH 19 September 2013. Tawaf di Mekah (Visual dari TV).Masjid-al-Haram-MeccaEMAIL / BADRILA LAMLUS
MEKAH 19 September 2013. Tawaf di Mekah (Visual dari TV).Masjid-al-Haram-MeccaEMAIL / BADRILA LAMLUS
Yusmizal Dolah Aling


LEBIH 30 aduan diterima Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai tawaran pakej mengerjakan haji oleh pihak tertentu yang tidak berdaftar sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai wujud tawaran di dalam kumpulan WhatsApp dan media sosial yang menawarkan pakej mengerjakan haji pada harga tertentu.

Katanya, setakat ini TH hanya melantik 19 PJH untuk membawa jemaah dan mereka ini akan menguruskan jemaah mengikut prosedur ditetapkan.

"Jadi saya nasihatkan rakyat Malaysia, biarlah pergi dengan pihak yang berdaftar kerana kita tidak mahu timbul sebarang masalah. Bila kita semak, mereka pergi dengan ejen tidak berdaftar.

"Kita ada sistem yang boleh semak semua itu. Jadi rujuk pejabat TH yang berdekatan untuk pengesahan apa juga bentuk tawaran. Kalau ada masalah, jangan pula tuduh TH tak dapat membantu kerana kita fokus kepada jemaah yang kita bawa menerusi TH dan PJH," katanya hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terkini ibadat haji, Abdul Azeez berkata, setakat ini sebanyak 76 penerbangan membawa 27,537 jemaah sudah tiba di tanah suci.

Katanya, penerbangan terakhir yang dijadualkan pada 26 Ogos ini ditunda ke 28 Ogos, namun semua operasi haji membabitkan fasa pertama dan kedua berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Penerbangan fasa pertama ke Madinah dan kini fasa kedua ke Jeddah, semuanya baik. Semua sekali 112 penerbangan dan Insya-Allah, TH akan berusaha memastikan yang terbaik kepada semua jemaah haji dari tanah air.

"Alhamdulillah, mereka yang menghadapi masalah visa juga sudah kita selesaikan, baki lagi 14 orang lagi yang kita sedang tunggu kekosongan penerbangan seterusnya," katanya.

Abdul Azeez berkata, ketika ini tahap keselamatan di tanah suci diperketatkan dan berharap tidak ada rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Arab Saudi kerana melanggar undang-undang di sana.

"Bagi pihak TH, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang banyak membantu jemaah Malaysia sama ada yang menghadapi masalah visa dan lain-lain.

"Saya dimaklumkan ini juga hasil hubungan dua hala yang begitu akrab antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemerintah Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz al Saud. Jadi, yang menerima manfaatnya adalah jemaah kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:21 PM