Keadaan kereta dan  bas yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan.
Keadaan kereta dan bas yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan.

Johor Bahru: Tiga termasuk kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera dalam kemalangan membabitkan sembilan kenderaan di Lebuhraya Pasir Gudang berdekatan Taman Damansara Aliff, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Beh Eng Lai berkata, ketiga-tiga mangsa berkenaan menaiki sebuah Perodua Myvi dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Katanya, kemalangan jam 11.40 pagi itu membabitkan lima kereta dan masing-masing sebuah bas, motosikal, van dan jip. Tiada kehilangan nyawa dilaporkan dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru Shaari Nor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.48 pagi.

Mangsa yang cedera dikenali sebagai J Naviin, 9, K Narmatha, 16, dan S Premavathy, 35. Mereka beralamat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Sejurus menerima panggilan, sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota bersama tiga anggota dari Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke HSA bagi mendapatkan rawatan susulan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 10:03 AM