DI sinilah bangsal yang menjadi kediaman Zarina dan suami sejak setahun lalu.
DI sinilah bangsal yang menjadi kediaman Zarina dan suami sejak setahun lalu.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Hati mana tidak tersentuh apabila mendengar rintihan seorang wanita bersama suaminya yang hanya menjamah mi segera dan roti sebagai menu berbuka puasa di dalam bangsal usang diduduki mereka sejak setahun lalu.

Lebih memilukan apabila bangsal usang itu tidak mempunyai elektrik manakala hanya mandi menggunakan air sungai di tepi bangsal.

Wartawan yang menyaksikan sendiri kesusahan hidup pasangan suami isteri, Shaari Hamid, 56, dan Zarina Md Hashim, 47, semalam, di tepi sungai berhampiran Taman Bersatu, Kuala Kedah, di sini, simpati melihat keperitan ditanggung keluarga ini yang hidup ‘terbuang’.

Selain itu, bangsal berkenaan juga tidak dilengkapi tandas menyebabkan kelihatan najis berselerakan di tepi bangsal berhampiran tanaman sayuran.

Bangsal itu didirikan daripada kayu dan zink terbuang. Kediaman yang serba daif itu diibaratkan syurga buat pasangan berkenaan.

Di tepi sungai kelihatan bekas tadahan air untuk mandi dan membasuh pakaian yang pasti meruntun jiwa jika sesiapa melihat keadaan mereka berdua.

Zarina berkata, dia sudah berkongsi hidup dengan suami keduanya itu sejak lapan tahun lalu dan hidup berpindah-randah.

Menurutnya, sebelum ini mereka tinggal di rumah sewa, namun akibat kesempitan hidup menyebabkan tidak mampu menjelaskan bayaran sehingga terpaksa keluar dan akhirnya tinggal di sini sejak setahun lalu.

“Suami (Shaari) hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap sementara saya tidak bekerja dan kadangkala akan mengutip kerang sebelum dijual untuk menambah pendapatan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Zarina, bangsal didiaminya ini tiada bekalan elektrik di mana hanya bergantung kepada lilin dan lampu suluh untuk menerangi waktu malam dengan tidur beralaskan tikar.

“Kadangkala berasa tidak selesa apabila kami kepanasan, namun hanya ini yang mampu kerana jika menyewa rumah yang lebih selesa, saya tidak mampu untuk membayarnya,” katanya.

Dia yang berasal dari Langkawi berkata, dia juga sudah tiga tahun terpisah dengan dua anak perempuannya berusia 28 dan 29 tahun hasil perkahwinan pertama yang sudah berumah tangga dan sedih kerana tidak dapat beraya bersama akibat terputus hubungan.

“Persiapan raya untuk tahun ini pun tiada kerana akan memakai apa yang ada sahaja,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengadakan tinjauan di kediaman pasangan itu, semalam untuk meneliti jenis bantuan yang boleh disalurkan.

Pegawai JKM Kota Setar Syahrul Nasir Mat Rais berkata, buat masa ini pihaknya menyerahkan bantuan segera sebanyak RM300 untuk meringankan beban mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Menurutnya, pihaknya akan berbincang dengan pihak Zakat untuk meneliti jenis bantuan yang sesuai untuk disalurkan kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 9:53 AM