Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Hasrat pasangan suami isteri memiliki sebuah kereta tidak kesampaian apabila mendakwa kerugian RM6,000 selepas ditipu pengiklan jualan kenderaan dalam sebuah laman web tempatan yang terkenal memasarkan barangan terpakai, Sabtu lalu.

Mangsa, Nuratikah Jasni, 22, dikatakan berminat membeli sebuah Perodua Kelisa yang dijual pada harga RM6,000 sebelum memasukkan wang itu sebanyak dua kali dalam akaun seorang lelaki yang mendakwa jurujual kereta itu masing-masing RM1,000 dan RM5,000.

Difahamkan, dalam iklan dibuat, lelaki terbabit mendakwa dia bekerja di sebuah premis menjual kenderaan terpakai di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Menceritakan kejadian itu, Nuratikah berkata, dia berhasrat memiliki Perodua Kelisa sebelum membuat carian di laman web berkenaan dan menemui kereta idamannya yang ditawarkan dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Katanya, dia segera menghubungi nombor tertera di laman berkenaan sebelum panggilan dijawab seorang lelaki.

“Lelaki itu memberitahu Perodua Kelisa dipamerkan mendapat permintaan tinggi serta memintanya membayar wang pendahuluan.

“Saya meminta suami memasukkan RM1,000 ke dalam akaun lelaki itu pada jam 4 petang, Sabtu lalu. Bagaimanapun, tiga jam kemudian lelaki itu menghubungi saya semula meminta kami membuat bayaran penuh.

“Lelaki itu mendakwa pengurusnya meminta saya berbuat demikian bagi memudahkan urusan dokumentasi dan tukar nama.

“Pada awalnya saya musykil dengan permintaan itu, tetapi dia meyakinkan saya dengan memberikan nama syarikat, alamat dan nombor telefon pejabat untuk dihubungi,” katanya.

Menurutnya, urusan pembelian kereta dijalankan menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

“Akibat mempercayainya, suami kemudian memasukkan wang berjumlah RM5,000 dalam akaun sama pada jam 8 malam dan berjanji untuk berjumpa keesokannya bagi urusan mengambil kereta,” katanya.

Nuratikah berkata, apabila tiba hari dijanjikan, lelaki itu gagal dihubungi menyebabkan dia curiga lalu membuat semakan dan menghubungi syarikat itu untuk pengesahan.

“Jawapan yang diterima amat mengejutkan apabila kereta ditawarkan dan nama lelaki itu tidak wujud. Baru saya sedar yang saya menjadi mangsa penipuan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Mantin, Ahad lalu.

Nuratikah berkata, dia kemudian memeriksa laman web berkenaan dan mendapati lelaki itu mengiklankan beberapa kereta dengan menawarkan harga rendah dan bimbang sekiranya ada individu lain terpedaya dan menjadi mangsa sepertinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin mengesahkan menerima laporan kes terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 10:15 AM