AHLI EPANCO menghadiri program dianjurkan ANGKASA.
AHLI EPANCO menghadiri program dianjurkan ANGKASA.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Dulu bergaduh, mencuri dan terbabit dalam kegiatan peras ugut sudah dianggap biasa malah memberikan kepuasan kepada dirinya.

Semuanya dilakukan hanya untuk satu tujuan iaitu dihormati, dikenali dan ditakuti menerusi pembabitan dalam dunia gengsterisme kerana menganggap dengan cara itu semua pihak akan tunduk kepadanya.

Lelaki muda yang dikenali sebagai Adam, 20, ini terbabit dalam kegiatan tidak bermoral seperti gengsterisme seawal usia 13 tahun selepas terpengaruh dengan rakannya yang lebih tua.

Usianya yang terlalu muda menyebabkan dia tidak diterima masuk dalam kongsi gelap, sekali gus Adam menubuhkan kumpulan ala gengster dengan bergaduh, memeras ugut dan mencuri.

“Saya rasa hebat apabila memukul individu lain serta lebih berpuas hati apabila melihatnya tumbang di hadapan selepas ditumbuk bertubi-tubi dan ia dilakukan semata-mata untuk menunjukkan kehebatan kepada orang lain.

“Perbuatan itu tidak dapat dikawal kerana ia memberikan kepuasan malah saya seolah-olah naik hantu apabila bergaduh dengan individu lain,” katanya.

Menurutnya, perbuatannya itu akhir sampai ke kemuncak apabila dia memukul seorang lelaki hanya kerana menjeling ke arahnya sebelum polis memburunya selepas mangsa membuat aduan.

“Saya sudah biasa bergaduh, namun kejadian itu seakan-akan memberikan kesan mendalam kerana memikirkan hanya kerana jelingan sanggup memukul mangsa sehingga cedera.

“Perbuatan itu jika difikirkan kembali begitu melampau dan mula timbul rasa menyesal kerana ia menyusahkan ramai pihak,” katanya.

Bermula daripada kejadian itu, dia bertekad membubarkan kumpulan yang dianggap tidak memberi faedah dan menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terbabit sama dalam aktiviti kemasyarakatan, sekali gus meninggalkan segala perbuatan jahat dulu.

“Saya mengenali Pengasas Pertubuhan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar, 46, yang menjalankan aktiviti kemasyarakatan termasuk mendekatkan diri dengan golongan remaja supaya terhindar daripada gejala sosial.

“Ada antara ahli EPANCO adalah individu yang pernah terbabit dalam gengsterisme namun kini mereka sudah meninggalkan kegiatan itu dan bersedia berkhidmat kepada masyarakat dalam usaha membentuk keperibadian yang lebih baik,” katanya.

Katanya, selepas menyertai EPANCO, dia mula sedar pengaruh itu bukan datang daripada rasa takut, sebaliknya rasa hormat kepada seseorang menyebabkannya bertekad berubah menjadi insan lebih baik.

“Saya diberi tunjuk ajar oleh Ariffin bagaimana menjadi pemimpin baik dan dihormati, tak perlu pukul orang pun sebenarnya boleh dihormati.

“Berikutan itu, saya ajak semua rakan yang pernah terbabit dalam dunia gengsterisme untuk sama-sama berubah ke arah lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:45 AM