Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengalukan-alukan Pakatan Harapan dan PAS jika ingin bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Parlimen Sungai Besar, Selangor kerana mampu memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, tindakan mereka yang masih berbalah dan berpecah berkaitan isu meletakkan calon pada PRK kali ini tidak menjadi masalah kepada BN.

“Kami mengalu-alukan, lagi banyak yang mahu bertanding dalam kalangan pembangkang iaitu tiga lawan satu misalnya tidak menjadi masalah kerana memberi kelebihan kepada kami (BN).

“Biarlah mereka bergaduh sesama sendiri. Mereka ini (pembangkang) tidak ada agenda yang satu. Dulu Pakatan Rakyat sekarang Pakatan Harapan, namun apa yang dilihat mereka berpakat bukan untuk satu agenda, kepentingan rakyat dan negara, tetapi untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2016 di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, di sini, semalam.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, pakatan seperti itu tidak boleh bertahan lama dan berpecah.

“Apa yang saya nampak pakatan (pembangkang) ini adalah pakatan jahat kerana masing-masing mempunyai agenda dan matlamat berlainan. Sebab itu sebelum ini dalam Pakatan Rakyat, mereka tidak bertahan lama dan berpecah,” katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Amar, kelmarin menyifatkan pertandingan tiga penjuru dijangka berlaku pada PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar seakan-akan memberi ‘nyawa’ kepada BN.

Pertikaian itu tercetus apabila PAS tetap bertegas mahu bertanding di kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan menyebabkan Parti Amanah Negara dari Pakatan Harapan turut ingin bertanding pada PRK terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 7:31 AM