Risalah pinjaman wang yang dirampas daripada suspek.
Risalah pinjaman wang yang dirampas daripada suspek.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang konco sindiket ceti haram (along) dikejar polis selepas dikesan mengedar risalah pinjaman wang haram sehingga had maksimum RM9 juta.

Lelaki berusia 31 tahun itu dikesan leka menampal dan mengedar risalah pinjaman along di sekitar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, suspek tidak menyedari kehadiran anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap anggota polis Balai Polis TTDI.

Sumber polis berkata, pemeriksaan polis menemui 900 risalah pinjaman wang along berwarna ungu beralamat di Ampang, Selangor.

“Polis turut merampas beg silang suspek dan kami sedang mengesan sekiranya suspek turut mempunyai rakan lain yang melakukan aktiviti sama di sekitar TTDI,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, suspek dikatakan datang secara bersendirian dan memfokuskan kawasan dinding bangunan untuk menampal risalah pinjaman along.

Difahamkan kegiatan itu dikesan sejak sebulan lalu sebelum anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah secara efektif bagi menahan sebarang aktiviti along.

Sumber memberitahu, risalah dirampas itu menyatakan orang ramai boleh membuat pinjaman hingga RM9 juta.

“Suspek kini ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 9:33 AM