ANTARA peserta yang berbasikal bersama keluarga sempena SikalsihatKL.
ANTARA peserta yang berbasikal bersama keluarga sempena SikalsihatKL.
Dr Hilmi (empat dari kanan) merasmikan SikalsihatKL dan LangkahsihatKL, semalam.
Dr Hilmi (empat dari kanan) merasmikan SikalsihatKL dan LangkahsihatKL, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan mengambil tindakan awal dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan tambahan di semua pintu masuk sempadan bagi menghalang jangkitan virus Zika merebak di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Hilmi Yahaya berkata, inisiatif itu sebagai langkah mengelakkan penyebaran virus itu terutama di Johor yang terletak berhampiran dengan negara jiran Singapura yang mencatatkan kes pertama virus itu Jumaat lalu.

“Semua pintu masuk di kawasan sempadan dikawal ketat dengan pelaksanaan pemeriksaan kesihatan tambahan selaras prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika berdepan ancaman penyakit berjangkit seperti virus Zika.

“Setiap pelancong asing mahupun warga tempatan perlu menjalani pemeriksaan di semua pintu masuk sempadan bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang ancaman virus terbabit kerana berdasarkan fakta kes yang direkodkan di Singapura, virus itu dibawa masuk dari negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan SikalsihatKL serta LangkahsihatKL sempena Hari Kesihatan Sedunia dan Bulan Pemakanan 2016 Peringkat Wilayah Persekutuan KL dan Putrajaya di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, semalam.

Singapura menjadi negara kedua di Asia Tenggara mencatatkan kes virus Zika selepas seorang lelaki berusia 48 tahun disahkan menghidap virus terbabit selepas balik dari Sao Paulo, Brazil dan dikuarantin di Hospital Mount Elizabeth Novena.

Hilmi berkata, walaupun negara ini tidak mencatatkan sebarang kes berhubung virus itu, namun langkah membendung penyakit berjangkit terbabit diambil memandangkan penularan wabak denggi mencatatkan jumlah tinggi.

“Risiko dan ancaman virus Zika di negara ini tetap ada kerana penularan penyakit terbabit disebarkan nyamuk aedes aegypti yang juga vektor sama seperti denggi walaupun kes direkodkan menurun daripada 3,500 kes pada minggu pertama awal tahun ini kepada 1,500 kes sepanjang minggu lalu.

“Penurunan kes denggi yang direkodkan berikutan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini menyebabkan keadaan kering, sekali gus mengakibatkankan tempat pembiakan nyamuk aedes terjejas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran termasuk Indonesia dan Thailand agar berkongsi maklumat berhubung perkembangan penularan virus terbabit.

“Selain Singapura, kita juga bekerjasama dengan kerajaan Indonesia dan Thailand dalam mengawal penularan virus Zika di rantau ini selaras dengan kedudukan kita yang berhampiran dengan negara terbabit.

“Malah perkongsian maklumat disalurkan bersama negara jiran bagi membolehkan kita mengawal kemasukan pelancong asing dari negara luar yang berpotensi membawa ancaman dan risiko virus berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:22 AM