Rumah sempit tempat Rosnani  dan anaknya berteduh.
Rumah sempit tempat Rosnani dan anaknya berteduh.
Rosnani  besama anak dan cucunya di  pondok di Kampung Badang, Jalan Felcra.
Rosnani besama anak dan cucunya di pondok di Kampung Badang, Jalan Felcra.
Safuri Kamarudin

Baling: Sebahagian daripada anak-anak lelakinya terpaksa tidur di sebuah dangau tanpa dinding yang terletak berhampiran rumah yang didiaminya berikutan rumah itu terlalu sempit untuk didiami keluarga besarnya seramai 15 orang.

Itulah pengorbanan yang terpaksa ditempuhi seorang ibu tunggal, Rosnani Hanafiah, 41, bersama enam anak, tiga cucu dan seorang anak saudara apabila terpaksa menumpang di rumah abangnya, Azizan Hanafiah, 54, duda tiga anak di Kampung Badang, Jalan Felcra.

Rosnani Hanafiah, 41, sebelum ini tinggal di Kampung Merbau Pulas, namun selepas berpisah dengan suaminya dua tahun lalu, dia mengambil keputusan menumpang di rumah abangnya, biarpun kediaman tanpa bilik itu terlalu sempit dan diibaratkan ‘rumah sardin’ bagi mereka.

Kehidupan itu dilalui Rosnani bersama keluarganya sejak tiga bulan kerana tidak mampu menyediakan kediaman selesa bagi anak-anaknya berikutan tiada pekerjaan dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan.

“Berikutan rumah ini terlalu sempit, pada waktu tengah hari, saya bersama anak dan cucu akan berehat di dangau ini sambil melihat anak mengulang kaji pelajaran mereka.

“Saya tidak mampu membina sebuah rumah yang lebih selesa kerana kesempitan hidup dan ditambah tanggungan yang ramai dan tiada pendapatan tetap,” katanya.

Dia berkata, dua anaknya iaitu Fatin Umi Syafiqah Abd Manaf, 21, dan Intan Nor Asyikin, 18, juga bergelar ibu tunggal dan tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan masing-masing mempunyai anak berusia 4 tahun dan dua bulan, juga tinggal bersamanya.

Selain itu, katanya, dua anaknya, Mohd Azrul Fikri, 15, dan Mohd Hafiz Haikal, 14, tidak bersekolah sejak setahun lalu kerana kesempitan hidup dan masalah pengangkutan ke sekolah.

“Mereka ingin ke sekolah tetapi kami berdepan masalah kewangan dan pengangkutan menyebabkan impian mereka terhalang.

“Mereka juga ingin ke sekolah dan bersedia untuk tinggal di asrama sekiranya ada pihak yang membantu menyelesaikan masalah kami ini,” katanya.

Rosnani berkata, dia menghantar dua anaknya, Mohd Fakihun Idan, 12, dan Mohd Fakihun Naim, 9, setiap hari ke Sekolah Kebangsaan Merbau Pulas dengan motosikal.

Selain perlu memastikan makan minum anaknya mencukupi, Rosnani turut menjaga seorang anak saudaranya, Mohd Khairul Rizal Abdullah, 15, yang juga tidak bersekolah, menyebabkan kehidupannya semakin tertekan.

Katanya, dengan bantuan RM400 daripada JKM itu digunakan secara berjimat cermat untuk memenuhi keperluan keluarganya.

Bagi memperoleh sebuah kediaman yang selesa, dia berharap terdapat pihak yang sudi membina rumah bagi mereka.

“Mujurlah anak-anak memahami keperitan hidup selepas bergelar ibu tunggal, malah tetap berazam untuk mengubah kehidupan keluarga,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan mereka boleh menghubungi Rosnani di 013-4593464 bagi memberi sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:06 AM