Muhin menunjukkan cara menganyam wakid.
Muhin menunjukkan cara menganyam wakid.
Recqueal Raimi


Tuaran: Faktor geografi yang luas menyebabkan masyarakat dahulu menjadikan aktiviti berkebun sebagai sumber pendapatan utama.

Dikurniakan tanah subur, ramai penduduk dalam kalangan masyarakat Kadazandusun memiliki kebun luas dengan hasil melimpah ruah.

Disebabkan kebun luas, timbul masalah membawa benih atau hasil tanaman yang dipungut dari satu tempat ke tempat lain.

Namun, segalanya berubah apabila masyarakat dahulu mencipta beg galas diperbuat daripada buluh dipanggil wakid.

Lazimnya, wakid digunakan untuk mengangkut tanaman dari kebun atau membawa hasil ke pasar untuk dijual.

Wakid memudahkan kerja petani termasuk mereka yang mengerjakan sawah padi.

Pembuat wakid, Muhin Gimbat, 58, berkata beg buluh menjadi peralatan wajib bagi petani dan penduduk di kampung atau pedalaman.

“Keunikan wakid selain digunakan meluas pada zaman dahulu menjadikan barangan ini sebagai ikon Sabah.

“Selain menggunakan buluh, beg ini turut diperbuat daripada rotan dan kulit pokok,” katanya di rumahnya di Raganan, Kiulu, di sini.

Muhin berkata, wakid digunakan kaum Kadazandusun sejak turun-temurun kerana ketahanannya yang mampu menanggung bebanan sehingga 70 kilogram (kg).

“Bahan menghasilkan wakid tidak sukar diperoleh dan mudah ditemui dalam hutan atau belakang rumah.

“Buluh atau rotan akan dianyam sehingga berbentuk bujur dengan ruang atas terbuka luas,” katanya.

Menurut Muhin, selepas siap menganyam wakid, rotan digunakan untuk membuat tali menggalas mengikut kesesuaian pemakainya.

“Panjang tali wakid untuk digalas di belakang badan biasanya sepanjang 60 sentimeter dan rotan digunakan kerana ia sukar putus.

“Apabila siap, wakid yang bersaiz separuh badan manusia mampu membawa beban sehingga 70kg bergantung kepada bahan digunakan,” katanya.

Muhin kini menghasilkan wakid bukan untuk kegiatan pertanian lagi, sebaliknya sebagai perhiasan rumah atau cenderahati.

“Kebanyakan anak muda sekarang tidak pandai membuat wakid dan bimbang alat tradisional ini satu hari kelak pupus ditelan zaman.

“Saya berharap satu hari ada golongan muda mempelajari cara menghasilkan wakid supaya jasa peralatan ini dalam kehidupan nenek moyang mereka tidak dilupakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:25 AM