Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: “Peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci ini buat kali pertama akan saya gunakan untuk mendoakan kesihatan anak lelaki yang menghidap penyakit jantung berlubang supaya sembuh,” kata tukang urut dan juga bapa kepada tiga anak, Ahmad Ridzuan Fazri Yahya, 29.

Ahmad Ridzuan yang cacat penglihatan adalah salah seorang daripada lapan orang kurang upaya (OKU) yang dipilih ke Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah menerusi program Bersamamu.

Status OKU sebenarnya tidak menjadi penghalang untuk Ahmad Ridzuan menjadi tetamu Allah dan dia ingin sekali berdoa di depan Kaabah terutama untuk kelangsungan kesihatan keluarganya.

“Niat untuk pergi sudah lama tetapi tidak berpeluang lagi dan apabila dipilih oleh Bersamamu, saya bersyukur sangat lebih-lebih lagi mahu mendoakan kesihatan anak sulung yang kini berusia tujuh tahun.

“Ketika berusia tiga bulan, jantung anak saya didapati berlubang kira-kira satu sentimeter, ditambah saya sendiri disahkan ada penyakit tulang belakang serta sendi di bahagian pinggang membesar,” katanya kepada Harian Metro selepas majlis penyerahan sumbangan perjalanan umrah Bersamamu 2016 di sini, semalam.

Menerusi perjalanan umrah kali ketiga Bersamamu itu yang akan berlepas hari ini sehingga 9 Mac, turut dibawa adalah 12 individu yang kisah mereka pernah disiarkan dalam Bersamamu.

Seorang lagi insan yang bakal mengerjakan umrah, Idi Amin Arsad, 40, berkata, dia tidak tahu bagaimana hendak membalas jasa mereka yang memilihnya dan berharap Allah akan memudahkan segala-galanya di sana nanti.

Paling istimewa, Idi tidak akan pergi bersendirian, malah turut bersamanya adalah isteri, Noor Hanita Darus, 40, dan anak, Alyaa Syazwani, 10.

“Alhamdulillah, saya dapat membuat umrah buat kali pertama bersama keluarga dan ia satu pengalaman berharga untuk saya. Terima kasih buat pihak Bersamamu.

“Jika ditanya mengenai doa, sudah tentu saya mahu mendoakan supaya kesihatan beransur pulih kerana saya sendiri menghidap Hepatitis B dan isteri ada penyakit angin ahmar,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Bersamamu Mazlin Nordin berkata, umrah ini sangat istimewa kerana ini kali pertama OKU mengikuti perjalanan itu.

“Pada 2012 kami membawa 27 individu yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim serta golongan keluarga miskin dan tahun lalu kami berjaya membawa dua lagi individu untuk tujuan sama.

“Ini adalah tanggungjawab kami untuk realisasikan impian responden yang pernah ditampilkan dalam program Bersamamu. Kali ini, kami turut merakam dua episod istimewa sepanjang mengerjakan umrah,” katanya.

Menurut Mazlin, dua episod istimewa itu akan disiarkan pada 12 dan 19 April di TV3 setiap hari Selasa pada jam 9.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 9:23 AM
 PENGURUS Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9 Feisal Malek (kanan) beramah mesra bersama sebahagian 17 responden yang terpilih  untuk mengerjakan ibadah umrah.
PENGURUS Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9 Feisal Malek (kanan) beramah mesra bersama sebahagian 17 responden yang terpilih untuk mengerjakan ibadah umrah.