MOHD Ghazali (kanan) menyerahkan replika kunci kereta kepada Mustaffa (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Hadiah Pertama Cabutan Bulanan Sijil Simpanan Premiun (SSP) di Dewan Terbuka Maidam.
MOHD Ghazali (kanan) menyerahkan replika kunci kereta kepada Mustaffa (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Hadiah Pertama Cabutan Bulanan Sijil Simpanan Premiun (SSP) di Dewan Terbuka Maidam.
Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Hadiah Perodua Axia yang dimenangi melalui cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) merupakan hadiah ke-14 diraih seorang kakitangan kerajaan sepanjang 20 tahun menyimpan di bawah skim berkenaan.

“Sebelum ini, saya pernah menerima 13 hadiah antaranya pemain cakera padat, telefon bimbit dan Sijil Simpanan SSP,” kata Mustaffa Maarof Muhamad, 51, dari Kampung Petai Bubus, Manir, di sini.

Menurutnya, dia menyertai SSP sejak 20 tahun lalu dan memenangi pelbagai hadiah walaupun kecil, tetapi bermakna baginya.

Katanya, hadiah kereta itu diberikan kepada anak sulungnya, Amirah Nabilah Mustaffa, 21, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan kerana bakal menjalani latihan praktikal.

“Saya berpuas hati kerana Perodua Axia ini hadiah paling bermakna sepanjang menyimpan melalui SSP di BSN dan paling tinggi nilainya.

“Saya akan terus menyimpan dalam SSP kerana selain dapat menyimpan, saya juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah sama ada rendah atau tinggi nilainya,” katanya ditemui pada majlis penyampaian hadiah Cabutan Tempatan SSP bagi Disember 2015.

Menurutnya, simpanan amat penting terutama apabila berlaku kecemasan, tetapi untuk SSP mempunyai kelebihan tersendiri kerana terdapat cabutan menawarkan hadiah dan ia memberi kelainan dan peluang mendapat pelbagai hadiah.

Sementara itu, Pengarah Perniagaan Negeri BSN Terengganu Mohd Ghazali Abu Zahid berkata, bank berkenaan menawarkan hadiah menarik menerusi pelbagai jenis cabutan iaitu secara mingguan, bulanan dan tempatan.

“Semua penyimpan berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan sekiranya pelanggan komited membuat simpanan SSP secara berterusan di samping mendapat kadar dividen sehingga 2.42 peratus.

“Untuk tahun ini konsep baru diperkenalkan dan BSN masih mengekalkan nilai keseluruhan hadiah iaitu RM18 juta, namun jumlah bilangan hadiah daripada 88,000 kepada 320,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 8:41 AM