Oleh Hamizah Badiran

Yayasan Tenaga Nasional (YTN), sudah membantu lebih daripada 10,000 pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi agar impian mereka bergelar profesional dalam bidang yang diidamkan menjadi kenyataan. Ikuti pandangan dan pengalaman beberapa alumni YTN yang sudah berjaya dalam bidang mereka.

Bagi Mohd Iqbal Shamsul Kamar, 37, biasiswa YTN yang dianugerahkan kepadanya amat membantu dalam membiayai kos sepanjang pengajian Sains Komputer dan Kejuruteraan di Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat, selama empat tahun.

“Pemberian biasiswa YTN adalah satu usaha yang baik bagi memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang diminati.

“Selain itu, dengan adanya bantuan kewangan seperti disediakan YTN, ia dapat membangunkan modal insan negara secara aktif dan memastikan Malaysia terus meningkatkan daya saingnya di peringkat global,” katanya.

Kok Lye Wah, 35, yang berasal daripada keluarga susah pula menjelaskan, tanpa biasiswa YTN, tidak mungkin dia dapat meneruskan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 1998.

“Tidak dapat dinafikan YTN memberikan sumbangan yang besar dalam kehidupan saya bukan saja dari segi kewangan dan akademik, malah memberi inspirasi kepada saya untuk berkecimpung dalam bidang latihan dan pendidikan.

“Pada pandangan saya, YTN mampu membangunkan insaniah diri penerimanya melalui kepimpinan dari segi teladan.

Selain itu, YTN membolehkan Yusno Yunos, 34, mendapat pendidikan yang terbaik dan pengalaman berharga di salah satu universiti terkemuka di Pittsburgh, Amerika Syarikat iaitu Carnegie Mellon University.

“Alhamdulillah, dengan segala pengalaman selama ini, saya berupaya menubuhkan syarikat Y Us Sdn Bhd. Semasa belajar, saya juga bekerja sambilan di kampus sebagai tutor, pembantu penyelidik dan pembangun laman web.

“Inisiatif pemberian biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar berkelayakan ini harus diteruskan. Adalah sangat penting untuk pelajar tajaan bertanggungjawab selain dipantau oleh pengurus akaun khusus dari YTN,” katanya.

Seorang lagi, Lim Lian Tze, 37, berpendapat pendidikan mengubah takdir, bukan saja terhadap individu itu tetapi juga keluarga, orang sekeliling dan kenalannya.

“Memadai saya katakan bahawa saya dan keluarga tidak menimbangkan pengajian tinggi di luar negara tanpa biasiswa. Walaupun peluang pendidikan di universiti tempatan terbuka luas, dapat menyambung pengajian ke luar negara membuka perspektif baru bagi saya.

“Pelajar tajaan YTN boleh membawa pulang pengetahuan akademik dan juga perspektif daya tahan terbuka yang akan membantu mereka pergi lebih jauh. Justeru, YTN perlu meneruskan tradisi mereka, menyediakan peluang kepada pelajar yang layak daripada semua latar belakang,” katanya.

TNB menerusi YTN, komited membangunkan modal insan untuk melahirkan individu yang berbakat dalam pelbagai bidang dengan memberi penganugerahan biasiswa dan bantuan kewangan bagi mereka menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.

YTN ditubuhkan pada 5 Julai 1993 dengan objektif utamanya untuk menerima dan menguruskan dana bagi tujuan pendidikan dan kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 9:05 AM