MOHD Khaleb Khan (tengah) mahu debat umum diadakan bagi mengupas isu pengharaman penjualan vape.
MOHD Khaleb Khan (tengah) mahu debat umum diadakan bagi mengupas isu pengharaman penjualan vape.
Oleh Siti Nadzirah Che Mud


Kota Bharu: Pertubuhan Solidariti Vape Malaysia Kelantan mahu debat umum dijalankan antara pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri bagi mengupas isu pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape.

Jurucakapnya Mohd Khaleb Khan Nasir Khan, 30, berkata, pihaknya juga mahu sesi debat umum itu menjadi medan buat semua pihak terutama perokok vape untuk mengetahui alasan utama pengharaman penjualannya.

Katanya, mereka juga bersedia menjadi penganjur debat berkenaan dan mahukan pembabitan pegawai kesihatan, ahli akademik dan ahli agama.

“Kami desak kerajaan negeri nilai semula keputusan untuk mengharamkan penjualan vape di negeri ini dan berikan sebab pengharaman itu dalam perdebatan umum nanti.

“Keputusan itu dilihat tidak wajar kerana kira-kira 50,000 pengguna vape di negeri ini berkemungkinan kembali menghisap rokok yang lebih membahayakan sekiranya vape diharamkan.

“Atas sebab itu, kami sepakat untuk mengadakan perjumpaan dengan pengguna dan 500 peniaga rokok elektronik negeri ini akan menandatangani memorandum tanda sokongan penjualan vape,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Mohd Khaleb berkata, pihaknya juga akan mengadakan kempen pendidikan vape dalam masa terdekat bertujuan mendedahkan kebaikan rokok jenis itu selain menekankan etika menghisap vape.

Menurutnya, pihaknya sedang mencuba mendapatkan injuksi mahkamah untuk melanjutkan tempoh penjualan vape di negeri ini.

“Walaupun tempoh mengosongkan premis yang diberikan kerajaan negeri sudah dilanjutkan kepada 1 Februari tahun depan, ia masih tidak cukup untuk peniaga menghabiskan semua barang jualan sedia ada.

“Menjual semua aset kami dalam masa sebulan sangat mustahil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:51 AM