Kuala Lumpur: Mereka bukan kumpulan pencari hantu atau paranormal profesional, namun ‘kegilaan’ melihat makhluk halus membuatkan mereka sanggup melakukan apa saja.

Bagi kumpulan ini, koleksi video atau gambar entiti yang dirakam tidak dijadikan sebagai sumber pendapatan, sebaliknya memberi kepuasan tersendiri apabila dapat dikongsi secara percuma dengan pengikut di alam maya.

Menceritakan mengenai ‘kegilaan’ mereka, pengasas kumpulan paranormal Mr Zam Extreme Ghosthunter Noraizam Ali Budin, 40, berkata, kekangan wang, masa dan tenaga tidak menjadi halangan dalam usaha mereka memburu hantu.

Walaupun masing-masing mempunyai kerja tetap katanya, hobi ‘gila’ itu menjadi rutin mingguan setiap kali mempunyai masa lapang.

“Bagi kami, berbekalkan RM50 untuk isi minyak kereta dan makan minum cukup bagi menerjah ke lokasi yang didakwa berpenunggu.

“Apa yang penting bagi kami, kepuasan ribuan ‘followers’ (pengikut) di Facebook (FB) untuk melihat rakaman entiti yang kami dapat walaupun ada kalanya menghabiskan banyak masa dan tenaga hanya untuk merakam satu jelmaan,” katanya, di sini baru-baru ini.

Menurut Noraizam, kumpulannya termasuk Norzamri Ali Budin, 36; Mohd Aidil Mohd Abdullah, 28, dan Nur Suriani Che Hussain, 24, bukan terlalu berani dalam melakukan perkara itu, tetapi memberanikan diri kerana mahu merungkai misteri.

“Kami bukan mahu tunjuk hebat, mempersendakan atau taksub terhadap makhluk lain ciptaan Allah, tetapi sekadar mahu melihat dan tahu kewujudannya.

“Sebab itu, kami tidak kisah berkongsi wang membeli peralatan lebih sesuai untuk merakam makhluk halus,” katanya sambil menunjukkan beberapa peralatan diperlukan sebelum melakukan misi mencari makhluk halus.

Katanya, semua peralatan digital seperti kamera infra merah, kamera ‘ghost cam’, kamera video selain lampu yang keseluruhannya bernilai RM6,000.

“Semua peralatan ini kami beli sedikit demi sedikit sejak empat tahun lalu selepas Aidil (Mohd Aidil) dan Rynn (Nur Suriani) menyertai kumpulan kerana sebelum itu saya dan Norzamri hanya menggunakan kamera digital biasa yang sukar mendapatkan imej makhluk halus dalam gelap,”katanya.

Katanya, antara tempat yang pernah dilawati sejak 1999 sehingga kini Jalan Karak Lama (Pahang), Highlands Tower (Selangor), Mimaland (Selangor), Bukit Putus (Negeri Sembilan), Bukit Tunku (Kuala Lumpur), banglo lama Gombak (Selangor) serta Bukit Wang, Hutan Lipur Puncak Janing, Istana Raja Bersiong, Banglo Dukun Siam dan Titi Hayun di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:09 AM