Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Langkah Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Sabah yang akan menarik lesen perniagaan dan menyenaraihitamkan peruncit yang didapati bersalah menjual rokok seludup disambut baik beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, tindakan itu boleh membendung kegiatan penjualan rokok seludup.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempertimbangkan perkara berkenaan.

“Malah, DBKL sentiasa bersedia bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam perkara berkenaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, penarikan ataupun pembatalan lesen perniagaan sememangnya tertakluk di bawah bidang kuasa PBT.

“Jadi, jika JKDM dan KPDNKK mempunyai maklumat dan meminta kita (DBKL) menarik lesen perniagaan mereka yang dikesan ataupun ditangkap menjual rokok seludup. Kami bersedia berbuat demikian (menarik lesen),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, pihaknya yakin tindakan berkenaan satu perkara baik bagi membendung masalah penjualan rokok seludup.

“Seperti semua maklum, rokok seludup dijual dengan harga murah dan boleh dibeli pelajar sekolah disebabkan faktor harga.

“Jadi, langkah ini sememangnya bersesuaian dan MPAJ akan mempertimbangkan perkara ini,” katanya.

Menurutnya, penjualan rokok seludup di kawasan MPAJ tidak terlalu serius.

“Dalam pengetahuan saya, premis yang menjual rokok seludup di MPAJ tidak banyak, tetapi ada kios di kawasan tumpuan seperti stesen bas ataupun kedai kecil yang bertindak demikian. Kami sedia bekerjasama dengan agensi seperti JKDM untuk melakukan operasi bagi membanteras kegiatan ini.

“Di MPAJ, kita selalu melakukan operasi bersepadu bersama agensi lain membabitkan penjualan minuman beralkohol,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Ahmad Fauzi Ishak berkata, tindakan menarik balik lesen perniagaan peniaga dan peruncit yang didapati bersalah menjual rokok seludup itu perkara baik serta boleh dicontohi PBT lain.

Katanya, pihaknya juga bersedia bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti JKDM untuk melakukan operasi bersepadu dalam membanteras kegiatan penjualan rokok seludup.

“Tindakan Majlis Perbandaran Sandakan satu perkara yang patut dipuji dan boleh dilaksanakan pihak berkuasa tempatan lain,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas menarik lesen perniagaan dan menyenaraihitamkan peniaga serta peruncit diyakini mampu mengurangkan masalah penjualan rokok seludup di negara ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, peniaga atau peruncit yang didapati bersalah menjual rokok seludup di Sandakan bakal kehilangan lesen perniagaan serta-merta dan disenaraihitamkan MPS.

Presiden MPS Datuk James Wong dilaporkan berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menjual atau bersubahat menyimpan barangan seludup selaras dengan Kempen Anti Barangan Seludup yang dilancarkan.

“MPS tidak teragak-agak membatalkan lesen atau sebarang permit berkaitan sekiranya ada peniaga cuba mengambil kesempatan menyalah gunakan lesen atau permit mereka,” katanya ketika merasmikan kempen berkenaan di Pasar Besar Sandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:13 AM