Taktik lelaki meninggalkan bungkusan heroin di kawasan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bunos, di sini, untuk diedarkan secara kecil-kecilan mengundang padah apabila perbuatannya dilihat anggota polis yang membuat pemeriksaan, kelmarin.

Dalam pemeriksaan jam 11.30 pagi itu, suspek berusia 30-an ditahan di Blok G perumahan itu selepas anggota polis menemui satu ikatan gelang getah mengandungi lima peket lut sinar berisi dadah seberat 19.64 gram.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sariff berkata, suspek mungkin ingin menghantar bekalan kepada penagih di kawasan itu.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, 24 lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan dadah ditahan polis dalam Op Sarang di enam kawasan termasuk Kampung Padang Balang, Flat PPR Desa Rejang, Rumah Panjang Setapak Jaya dan Seksyen 2 Wangsa Maju.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 8:09 AM