Shah Alam: Memiliki ijazah sarjana muda adalah antara syarat baru bakal dilaksanakan kepada bakal jururawat di negara ini bertujuan menaik taraf profesion berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, setakat ini pihaknya masih di peringkat penelitian dan memperhalusi cadangan baru itu bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Beliau berkata, kenaikan syarat untuk menjadi jururawat dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda adalah sesuai dengan tahap profesionalisme kerjaya itu dalam bidang kesihatan.

“Apabila jururawat mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi, ia secara tidak langsung menaikkan tahap profesionalisme pekerjaan itu setaraf bidang profesional lain.

“Jururawat sedia ada digalakkan menaik taraf kemahiran masing-masing dengan mengambil inisiatif melanjutkan pengajian dan menyertai latihan yang dapat meningkatkan mutu kerjaya mereka,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2015 di sini, semalam.

Setakat ini kerajaan menetapkan taraf pendidikan Diploma dan setaraf bagi jawatan Jururawat (Skim Perkhidmatan Bersepadu) dan Pergigian manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Jururawat Masyarakat.

Subramaniam berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan ganjaran sesuai kepada jururawat yang memilik ijazah ketika berkhidmat, sekali gus menjadi pendorong jururawat lain menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, ada antara jururawat berkhidmat memiliki tahap pendidikan sehingga Doktor Falsafah dan ia menjadi pendorong kepada jururawat lain turut sama meningkatkan tahap pendidikan masing-masing.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan kini memiliki 124,000 jururawat bagi sektor awam dan swasta dan jawatan itu serta beberapa jawatan lain dalam bidang kesihatan.

Katanya, pertambahan bilangan jawatan itu perlu dilaksanakan bagi menampung pertambahan kemudahan kesihatan seperti hospital, klinik kesihatan dan klinik desa di seluruh negara

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:08 AM