Seremban: “Saya sangka ubat itu (syabu) penawar untuk meningkatkan daya ingatan, rupa-rupanya semakin lama ia menjerat diri,” kata seorang pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dikenali sebagai Zaid, 27, mendedahkan kesilapan dirinya menyalahgunakan dadah itu.

Dia yang mengikuti ijazah Sarjana Muda Keselamatan Sistem Komputer di sebuah universiti di Kuala Lumpur berkata, dia membeli bahan larangan itu menerusi Internet selepas disyorkan rakan.

Katanya, ketika awal menggunakan syabu, ingatannya begitu kuat dan dapat menghafal pelbagai teori komputer sehinggalah enam bulan kemudian, apabila ingatannya mula bercelaru.

Menurutnya, bukan hanya fikirannya terganggu, malah susuk badannya juga semakin kurus dan perubahan sikapnya menyebabkan rakan rumah sewanya terpaksa memaklumkan kepada ibu bapanya.

“Ibu bapa saya terkejut ketika itu apabila melihat saya seperti orang gila, tidak terurus dan bercakap seorang diri,” katanya.

Menurutnya, bimbang masa depannya gelap, ibu bapanya terpaksa menamatkan pengajiannya di universiti sehinggalah dia ditempatkan di Pusat Pemulihan Pondok Inabah Malaysia, Jalan Labu di sini, sejak Ogos tahun lalu.

“Selama setahun berada di pusat pemulihan ini, Alhamdulillah jiwa saya kembali tenang dan dapat berubat penyakit jiwa oleh ustaz,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi pusat pemulihan itu, Muhamad Fadil Mustafa berkata, sejak dimasukkan ke pusat itu, Zaid menjalani pelbagai rawatan termasuk mandi hidroterapi, pemulihan jiwa, pengajian agama serta motivasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:01 AM