Kuala Lumpur: Seorang timbalan pengurus sebuah pusat pengajian awam kecewa apabila rumahnya dilelong pihak bank tanpa pengetahuannya walaupun bayaran tertunggak sudah dijelaskan.

Mangsa, Rohaya Sulong, 41, berkata, dia hanya mengetahui rumahnya akan dilelong apabila menerima surat guaman kira-kira jam 4 petang, 5 Mac lalu yang menyatakan dia perlu hadir ke Mahkamah pada pagi hari yang sama.

Bagaimanapun katanya, dia sudah membayar sejumlah wang tunggakan seperti diarahkan pihak bank sebelum 26 Mac lalu bagi mengelakkan rumahnya dilelong.

“Walaupun saya sudah membuat pembayaran seperti diminta, ejen lelongan masih terus membuat iklan dari rumah ke rumah berhubung lelongan rumah saya itu.

“Berdasarkan iklan itu, rumah saya akan dilelong semalam walaupun semua tunggakan sudah dibayar mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, pihak bank seharusnya menghubunginya untuk berunding ataupun berbincang mengenai perkara itu.

“Saya tidak faham mengapa lelongan rumah itu diteruskan juga dan ia memalukan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 8:03 AM