Kuala Lumpur: Wanita yang muncul di dalam video mempersenda hukum hudud dan kini viral di laman maya dianggap cuba mencetuskan polemik baru dalam kalangan individu yang menontonnya seolah-olah hukum berkenaan boleh dipermainkan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, apa yang dikatakan oleh wanita terbabit turut menunjukkan seolah-olah masyarakat Islam juga mempertikaikan hudud.

“Dia nak tunjukkan keadaan hudud itu tidak baik sebab orang Islam juga anggap hudud tidak baik. Jika ia dilakukan oleh bukan Islam, kita boleh faham, namun ia dilakukan oleh seorang wanita yang kita percaya beragama Islam.

“Jika wanita itu masih ada ibu bapa, saya harap ibu bapanya akan menasihatinya, jika ada suami, saya juga anjurkan begitu. Wanita terbabit juga diminta bertaubat kerana daripada segi syarak sendiri, dia seolah-olah mempermainkan hukum Allah SWT,” katanya.

Pada masa sama, menurut Musa, Lawyers for Islam yang ditubuhkan oleh PGSM juga sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita terbabit.

“Lawyers for Islam akan melihat daripada aspek perundangan sama ada perbuatan wanita itu membabitkan kesalahan sivil atau syariah.

“Apabila kita sudah buat keputusan maka tindakan seterusnya akan diambil. Ketika ini, Lawyers for Islam berharap video terbabit ditarik balik kerana ia boleh menimbulkan pelbagai polemik tidak sihat di kalangan masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, menurut Musa, beliau berpendapat wanita terbabit mungkin merasakan hukum hudud itu boleh dipermainkan dan tidak serius dengan perkara berkenaan.

“Mungkin juga dia mahu mencari populariti kerana ketika ini, jika kita melakukan perkara di luar arus perdana, ia membuatkan kita cepat popular,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 10:03 AM