Georgetown: “Semua barang termasuk wang gaji yang baru diterima kelmarin musnah dalam kebakaran,” kata Ghasim, 30, yang terselamat dalam kebakaran memusnahkan 20 bilik dijadikan asrama pekerja warga asing di Jalan Kampung Batak, Relau, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian jam 10 pagi itu, dia bersama 50 lagi penghuni asrama terbabit yang terdiri warga Bangladesh sedang tidur.

“Kebanyakan daripada kami tidur selepas pulang bekerja malam dan langsung tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang berharga termasuk gaji yang baru dapat kelmarin.

“Api marak dengan cepat dan menyambar bilik diperbuat daripada kayu dan beratapkan zink itu,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, cuaca panas ditambah dengan faktor angin turut membuatkan api marak dengan cepat, namun dia bersyukur kerana semua penghuni asrama terbabit terselamat.

“Keadaan ketika itu kelam-kabut dan kami cuba memadam api menggunakan air, namun gagal kerana ia marak dan menyambar bilik dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Bayan Baru Pegawai Bomba Kanan II Razman Abdul Halim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.40 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya tiba di lokasi kejadian tujuh minit selepas itu dan api dikawal dalam tempoh lima minit.

“Setakat ini, kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:16 AM